DUNIA

Starmer janji bina kepercayaan awam terhadap potensi AI

Bernama 09/06/2025 | 20:30 MYT
Menurut Starmer, AI akan membantu mengurangkan kerenah birokrasi dalam perancangan pembangunan. - Gambar Reuters
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, United Kingdom mesti meyakinkan rakyat yang masih "skeptikal" bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kualiti hidup jutaan orang serta merevolusikan cara kerja sektor perniagaan dan kerajaan, lapor PA Media/dpa.

Menurut Starmer, AI akan membantu mengurangkan kerenah birokrasi dalam perancangan pembangunan, sekali gus mempercepatkan pembinaan rumah, di samping menjanjikan dana GBP1 bilion (AS$1.4 bilion) bagi meningkatkan keupayaan pengkomputeran UK.

Beliau mengakui kebimbangan orang ramai terhadap kemajuan pesat teknologi AI dan risiko terhadap pekerjaan mereka, namun menegaskan mengenai manfaat besar dalam penyampaian perkhidmatan awam termasuk automasi tugas pentadbiran agar kakitangan seperti pekerja sosial dan jururawat boleh "lebih bersifat manusiawi".

Dalam ucapan sempena Minggu Teknologi London, Starmer berkata: "Ada yang ragu-ragu. Mereka bimbang AI akan mengambil alih pekerjaan mereka."

Beliau berkata, sektor perniagaan juga bimbang dengan kepantasan perubahan yang "berterusan" dan menegaskan keperluan kerjasama antara kerajaan dan sektor teknologi.

"Dalam usaha kita memanfaatkan teknologi ini, saya percaya kerjasama adalah kunci untuk kita berjaya," katanya.

Kepada hadirin yang terdiri daripada ketua syarikat dan pakar teknologi, beliau menegaskan, "Kami benar-benar serius dalam hal ini. Kami teruja dengan peluang yang AI tawarkan iaitu untuk menjadikan kehidupan jutaan orang lebih baik."

Starmer berkata, kerajaan kini "komited menambah GBP1 bilion lagi bagi meningkatkan kuasa pengkomputeran kita sebanyak 20 kali ganda."

Langkah ini, katanya, akan memastikan "dalam perlumbaan global ini, kita boleh menjadi pembangun AI dan bukannya sekadar pengguna AI."

Beliau turut mengumumkan pelancaran Extract, pembantu AI untuk pegawai perancang dan majlis tempatan yang dibangunkan dengan sokongan Google.

Extract akan membantu pihak berkuasa tempatan menukar dokumen dan peta perancangan yang bertulis tangan sejak beberapa dekad lalu kepada bentuk data dalam masa beberapa minit. Perisian ini dijangka menjimatkan sehingga 250,000 jam kerja manual pegawai perancang setiap tahun.

Sementara itu, pekerja di seluruh negara akan dilatih untuk menggunakan dan berinteraksi dengan chatbot dan model bahasa besar sebagai sebahagian pelan latihan kemahiran AI melibatkan 7.5 juta pekerja menjelang 2030 dengan sokongan Google dan Microsoft.

Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang berkata, UK berada dalam kedudukan "ideal" kerana memiliki gabungan kepakaran akademik dan kekuatan kewangan, tetapi masih ketinggalan dari segi infrastruktur AI.

Berkongsi pentas bersama Starmer, beliau berkata: "UK memiliki antara komuniti AI terkaya di dunia -pemikir paling mendalam, universiti terbaik seperti Oxford, Cambridge, Imperial College serta syarikat pemula yang hebat."

Beliau berkata, UK hanya berada di belakang Amerika Syarikat dan China dalam pelaburan modal teroka.

-- BERNAMA



#Keir Starmer #kecerdasan buatan #AI #revolusi pekerjaan #birokrasi