DUNIA
Starmer tegaskan komitmen NATO terhadap pertahanan bersama
Keir Starmer berkata sekutu NATO "benar-benar komited terhadap kepentingan NATO, terutamanya dalam dunia yang semakin tidak menentu." - Gambar fail/REUTERS
THE HAGUE: Perdana Menteri Britain Keir Starmer menegaskan yang NATO kekal komited terhadap prinsip pertahanan bersama walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menimbulkan keraguan terhadap sokongannya terhadap pakatan itu, lapor PA Media/dpa.
Menjelang sidang kemuncak NATO pada Rabu di The Hague, Trump memberitahu wartawan dalam penerbangan dari Washington bahawa pendiriannya bergantung kepada "takrifan Artikel 5" apabila ditanya sama ada beliau akan berpegang kepada prinsip pertahanan bersama.
Artikel 5 NATO menyatakan, serangan ke atas satu anggota dianggap sebagai serangan ke atas semua dan semua negara anggota wajib mempertahankan satu sama lain.
Namun, ketika bercakap kepada media sebelum memasuki sidang kemuncak, Starmer berkata sekutu NATO "benar-benar komited terhadap kepentingan NATO, terutamanya dalam dunia yang semakin tidak menentu."
Sebelum mesyuarat Majlis NATO bermula, Starmer dilihat berbual panjang dengan Trump.
Mesej Starmer turut ditegaskan oleh Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, yang memulakan mesyuarat dengan berkata: "Komitmen bersama kita terhadap Artikel 5, bahawa serangan terhadap seorang dianggap serangan ke atas semua, adalah mesej yang kuat."
Berdiri di sisi Trump, Rutte memuji presiden AS itu kerana menggerakkan pakatan untuk mencapai komitmen perbelanjaan pertahanan sebanyak 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan berkata: "Anda telah menjayakan perkara ini."
Sebelum itu, Rutte menggambarkan Trump sebagai "seorang yang berani" dan juga "seorang yang cintakan keamanan," serta memuji kejayaannya dalam memeterai gencatan senjata antara Israel dan Iran.
United Kingdom (UK) turut menyokong sasaran baharu perbelanjaan NATO itu, dengan berikrar untuk membelanjakan 3.5 peratus KDNK bagi pertahanan utama dan 1.5 peratus lagi untuk langkah keselamatan dan daya tahan seperti keselamatan infrastruktur penting negara, kawalan sempadan dan risikan.
Namun, kerajaan UK menjangkakan sasaran itu hanya dapat dicapai menjelang 2035, iaitu tiga tahun selepas tarikh akhir yang dicadangkan oleh beberapa negara sekutu dan belum menjelaskan sumber pembiayaannya.
Selain peningkatan belanjawan pertahanan, UK juga mengumumkan rancangan untuk membeli 12 pesawat pejuang baharu yang mampu membawa senjata nuklear.
Langkah ini digambarkan sebagai "pengukuhan terbesar kedudukan nuklear Britain dalam satu generasi," iaitu semua jet itu akan terlibat dalam misi NATO yang melibatkan pemasangan bom nuklear AS pada pesawat sekutu.
Ia selari dengan syor dalam kajian semakan pertahanan strategik yang diterbitkan awal Jun lalu, yang menggesa agar UK memulakan rundingan dengan AS dan NATO untuk menyertai misi nuklear pakatan itu.
-- BERNAMA