Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Stephen King sifatkan pentadbiran Trump sebagai 'kisah seram', dedah pengakhiran sempurna

Astro Awani 13/08/2025 | 11:00 MYT
Stephen King (foto) turut mencadangkan pengakhiran terbaik bagi era pentadbiran Trump ialah melalui pemecatan rasmi atau persaraan politik. -Gambar fail/dpa
NEW YORK: Penulis novel seram terkenal, Stephen King, menyifatkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai sebuah “kisah seram”.


Ringkasan AI
  • Stephen King menyifatkan pentadbiran Donald Trump sebagai kisah seram dan mencadangkan pengakhiran terbaik ialah pemecatan atau persaraan politik.
  • King aktif mengkritik Trump di media sosial dan menggunakan akronim TACO untuk menyindirnya.
  • Kenyataan King dibuat ketika Trump mengarahkan Pasukan Pengawal Kebangsaan ke Washington DC, yang dikritik sebagai langkah autoritarian.


Dalam wawancara bersama The Guardian baru-baru ini, beliau turut mencadangkan pengakhiran terbaik bagi era tersebut ialah sama ada melalui pemecatan rasmi atau persaraan politik.

“Saya rasa pengakhiran yang baik ialah pemecatan — pada pandangan saya, itu pengakhiran yang sempurna.

"Saya mahu lihat dia bersara, anggaplah begitu.

"Pengakhiran buruk pula ialah jika dia mendapat mandat penggal ketiga dan mengambil alih semuanya.

“Ia kisah seram dalam apa jua keadaan. Trump adalah kisah seram, kan?” kata penulis yang terkenal dengan karya seperti Carrie, It, dan The Shining itu.

Trump telah dua kali dipecat oleh Dewan Perwakilan — pada 2019 atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan halangan terhadap Kongres, serta pada 2021 atas tuduhan menghasut berikutan serangan Capitol 6 Januari — namun kedua-duanya berakhir dengan pembebasan oleh Senat.

King juga aktif mengkritik Trump di media sosial. Dalam satu hantaran di platform X, beliau menulis: “Jauh di sudut hati, saya percaya Trump tahu dia seorang yang tidak kompeten.”

Beliau turut menggunakan akronim “TACO” — Trump Always Chickens Out — untuk menyindir presiden itu.

Kenyataan King muncul ketika Trump mengarahkan Pasukan Pengawal Kebangsaan ditempatkan di Washington DC sebagai sebahagian daripada janji untuk menjadikan ibu negara sebagai “bandar paling selamat di dunia”.

Langkah itu dikritik oleh Datuk Bandar DC, Muriel Bowser, sebagai “dorongan autoritarian”.

King, yang dikenali sebagai “Raja Seram”, menyatakan bahawa walaupun beliau gemar melihat karyanya diadaptasi ke layar perak, realiti politik semasa jauh lebih menakutkan daripada fiksyen yang pernah ditulisnya.








#Donald Trump #Stephen King #pengakhiran terbaik #raja seram #pemecatan atau persaraan politik