DUNIA

'Strong Man' Mesir tarik kapal 700 tan guna gigi, cipta cabaran luar biasa

Astro Awani 28/09/2025 | 03:15 MYT
Ahli gusti Mesir, Ashraf Mahrous, yang lebih dikenali sebagai Kabonga, meraikan kejayaannya menarik kapal seberat 700 tan merentasi air menggunakan tali yang digigit dengan gigi sahaja. - Foto AP
HURGHADA: Ashraf Mahrous, ahli gusti terkenal dari Mesir yang digelar “Kabonga”, sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila berjaya menarik sebuah kapal seberat 700 tan menggunakan hanya giginya dalam satu cabaran luar biasa di pesisir Laut Merah, Hurghada.


Ringkasan AI
  • Ashraf Mahrous tarik kapal seberat 700 tan guna gigi, dalam usaha memecahkan rekod dunia Guinness di pesisir Laut Merah, Hurghada.
  • Beliau turut tarik dua kapal serentak seberat 1,150 tan, sebagai bukti kekuatan fizikal dan ketahanan luar biasa yang dimilikinya.
  • Mahrous ikuti latihan intensif dan diet ekstrem, sambil menyatakan cabaran ini sebagai anugerah Tuhan dan harap diiktiraf secara rasmi.


Dalam usaha memecahkan rekod dunia Guinness, Mahrous menggigit tali yang disambung ke kapal dan menariknya merentasi air dengan kekuatan rahang dan tekad luar biasa.

“Hari ini saya datang untuk pecahkan rekod dunia,” katanya kepada media selepas cabaran itu.

Tidak cukup dengan satu kapal, Mahrous turut menarik dua kapal secara serentak dengan jumlah berat mencecah 1,150 tan, sebagai bukti kekuatan fizikalnya yang luar biasa.

Beliau menyatakan bahawa cabaran ini adalah cara untuk menunjukkan kepada dunia bahawa “Tuhan telah menganugerahkan saya kekuatan luar biasa”.

Mahrous, 44, berasal dari bandar pelabuhan Ismalia dan telah melakukan pelbagai aksi ekstrem sebelum ini, termasuk menarik kereta api, trak dan lokomotif.

Beliau juga pernah menarik kapal seberat 4,000 tan menggunakan tali yang diikat pada bahunya enam tahun lalu.

Untuk persiapan cabaran ini, Mahrous mengikuti diet tinggi protein dan zat besi, termasuk memakan 12 biji telur, dua ekor ayam dan lima kilogram ikan setiap hari.

Latihannya pula berlangsung tiga kali sehari, dua jam setiap sesi.

Beliau percaya bahawa bercakap dengan objek yang ditarik membantunya membina hubungan emosi dan fizikal, menjadikan cabaran lebih mudah.

“Saya anggap objek itu sebahagian daripada tubuh saya yang bergerak ikut degupan jantung,” katanya.

Dengan ketinggian 190 cm dan berat 155 kg, Mahrous mula menunjukkan kekuatan luar biasa sejak kecil, membantu keluarganya mengangkat barang berat selepas ayahnya kehilangan pekerjaan.

Kini, beliau menjadi inspirasi kepada ramai dan berharap pencapaian ini akan diiktiraf secara rasmi oleh Guinness World Records.






#Ashraf Mahrous #rekod dunia Guinness #tarik kapal #gigi