SEORANG suami kepada pekerja syarikat minyak dan gas multinasional British, BP, didakwa Suruhanjaya  Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) kerana mencuri dengar perbualan isterinya yang bekerja dari rumah.

Tyler Loudon didakwa telah beberapa kali mendengar perbualan isterinya - seorang pengurus penggabungan dan pengambilalihan di BP - yang terlibat dalam usaha pengambilalihan BP ke atas TravelCenters of America, dan membeli saham dalam firma itu.

Susulan itu, Loudon dikatakan mengambil kesempatan melakukan pembelian saham hasil dari maklumat sulit yang diperoleh dan meraih AS$1.76 juta (£1.39 juta) dalam keuntungan haram.

Loudon didakwa membeli 46,450 saham TravelCenters tanpa pengetahuan isterinya, sebelum perjanjian itu diumumkan pada Februari tahun lalu.

Susulan pengumuman itu, SEC berkata, harga saham TravelCenters meningkat hampir 71% dan Loudon  segera menjual semua sahamnya yang baru dibeli untuk membuat keuntungan

Dalam aduan oleh pengawal selia, semasa rundingan perjanjian antara TravelCenters dan BP pada 2022, Loudon yang berasal dari Houston, Texas, dan isterinya, bekerja di rumah dalam jarak 20 kaki antara satu sama lain.

"Akibatnya, mereka kerap mendengar dan menyaksikan perbualan dan persidangan video berkaitan kerja masing-masing.

"Isteri Loudon juga mengusahakan perjanjian berkenaan apabila pasangan itu tinggal di sebuah 'Airbnb kecil' di Rom," kata pengawal selia terbabit.

Loudon mengaku kepada isterinya tentang pembelian saham TravelCenters selepas Pihak Berkuasa Kawal Selia Industri Kewangan mula bertanya soalan mengenai perjanjian BP itu dan siapa yang disyaki tahu mengenainya. 

Menurut pemfailan, Loudon berkata, dia membeli saham itu kerana mahu mendapatkan wang yang mencukupi supaya isterinya tidak perlu bekerja berjam-jam lagi.

Isterinya - yang terkejut dengan pendedahan itu - melaporkan kesalahan itu kepada pihak pengurusan BP.

BP memeriksa e-mel dan mesej di telefon wanita itu dan tidak menemui bukti yang dia telah dengan sengaja membocorkan maklumat tentang perjanjian itu kepada suaminya atau mengetahui suaminya telah membeli saham itu.

Dalam satu kenyataan, SEC berkata, Loudon tidak menafikan dakwaan itu dan bersetuju untuk membayar penalti.

Beliau juga menghadapi kemungkinan tuduhan jenayah dan jika sabit kesalahan, boleh berdepan hukuman penjara.

Sementara  itu, menurut aduan pengawal selia, isteri Loudon berpindah keluar dari rumah dan menghentikan semua hubungan dengannya. Pada Jun 2023, dia memulakan prosiding perceraian.