Suami isteri bawa 45 pucuk pistol ditahan di lapangan terbang

Sinar Harian
Julai 15, 2022 03:20 MYT
Gambar menunjukkan pistol-pistol yang dibawa oleh pasangan suami isteri dari Vietnam pada 10 Julai lalu. -Foto Sinar Harian/ANI
NEW DELHI: Dua rakyat India yang membawa 45 pucuk pistol telah ditahan oleh pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi pada 10 Julai lalu, lapor media India pada Khamis.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada senjata itu tulen atau tidak.
Unit Antikeganasan Pengawal Keselamatan Negara (NSG) yang menyiasat kes itu melaporkan bahawa senjata itu tidak kelihatan sebagai tiruan.
Dalam laporan awal, NSG mengesahkan bahawa senjata itu berfungsi sepenuhnya, kata seorang pegawai kastam seperti dipetik oleh agensi berita PTI.
Kedua-dua yang ditahan dikenali sebagai Jagjit Singh dan Jaswinder Kaur yang merupakan pasangan suami isteri.
Pasangan itu telah kembali ke India dari Ho Chi Minh City di Vietnam pada 10 Julai lalu.
Jagjit ditangkap bersama pistol dalam dua beg troli yang diberikan oleh saudara lelakinya, Manjit Singh.
Manjit dilaporkan memberikan beg tersebut kepada Jagjit di Vietnam.
Menurut pegawai kastam, penumpang wanita tersebut membantu suaminya mengeluarkan dan memusnahkan tag beg troli yang mengandungi senjata api itu. -Sinar Harian memetik laporan agensi
#45 pucuk pistol #Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi #pasangan suami isteri #Unit Antikeganasan Pengawal Keselamatan Negara