INTERNATIONAL
Suara ASEAN kini lebih berpengaruh di peringkat global - Presiden ERIA
ASEAN telah lama bersikap sederhana dalam pendekatannya, tetapi pengaruhnya telah berkembang dengan ketara sejak dua dekad lepas. - Foto hiasan/Astro AWANI
PHNOM PENH: Di tengah-tengah perubahan dalam aturan global dan tindakan negara-negara kuasa besar yang tidak menentu, ASEAN yang muncul lebih matang dan bertenaga secara strategik menyusun semula kedudukannya - menegaskan nada suara bersatu untuk membentuk semula naratif global dan menjadi kuasa penstabil dalam hal ehwal antarabangsa.
Presiden Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Prof Tetsuya Watanabe berkata, ASEAN telah lama bersikap sederhana dalam pendekatannya, tetapi pengaruhnya telah berkembang dengan ketara sejak dua dekad lepas - didorong oleh kepimpinan politik yang mantap dan model diplomasi kolektif yang kukuh.
"Naratif dasar sentiasa datang dari Washington, dari Eropah dan mungkin beberapa bahagian lain dunia, tetapi kini (dengan) peralihan kuasa global, peralihan kuasa ekonomi sedang berlaku kepada ASEAN dan ekonomi lain yang sedang pesat membangun.
"ASEAN memainkan peranan penting dalam merangka perbincangan dasar awam, serta membekalkan kemakmuran dan keamanan, bukan sahaja untuk ASEAN, tetapi untuk rantau Indo-Pasifik (rantau) yang lebih luas dan juga kepada landskap global," kata Watanabe kepada Bernama dari Jakarta.
Beliau berkata, kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian dan pendekatan sinergistiknya untuk menyuarakan naratif mantap yang diterima global. Ini sudah pasti amat penting untuk mengukuhkan lagi daya tahannya sebagai rantau dan sebagai pasaran bersama.
Sejak ditubuhkan pada 1967, ASEAN telah memupuk diplomasi lembutnya dan dasar tanpa campur tangan dengan berhati-hati, mewujudkan kuasa dan memacu pemusatan ASEAN - untuk menjadi peneraju dalam menggalakkan kestabilan dan kemakmuran.
Hari ini perkampungan nelayan di Asia Tenggara secara beransur-ansur berubah menjadi hab kewangan dan ekonomi yang bertenaga, sering dicemburui oleh pelabur asing.
"ASEAN adalah kuasa ekonomi yang sangat kuat untuk memacu pertumbuhan ekonomi global, dan dari segi politik menyediakan kestabilan kepada persekitaran global yang tidak menentu. Jadi ASEAN tidak seperti 20 tahun lepas. ASEAN kini lebih kuat, lebih besar dan lebih penting.
"Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga hubungan rapatnya dengan Presiden Prabowo (Subianto) Indonesia mempamerkan kepimpinan kolektif untuk ASEAN," kata Watanabe.
Beliau berkata, Malaysia mempengerusikan ASEAN pada detik kritikal, tetapi yakin bahawa kumpulan itu telah faham cara bagaimana menjauhi kerumitan geopolitik.
"Kekuatan ASEAN adalah untuk mengemudi persekitaran yang rumit secara kolektif. Jadi bukan hanya satu negara dan satu kepimpinan, tetapi secara kolektif bertindak balas (kepada) persekitaran global dengan sangat fleksibel, neutral dan juga tangkas.
"Saya rasa ASEAN dan Malaysia sudah bersedia untuk bertindak balas. Contohnya jika kita bercakap mengenai rantaian bekalan, Malaysia memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan semikonduktor dengan memetakan kekuatan pelengkap setiap negara anggota ASEAN dan menambah baik dengan mewujudkan rantaian bekalan bersepadu semikonduktor.
"Kepimpinan yang berfikiran ke hadapan seperti ini akan menjadi kritikal bagi ASEAN dan pengerusi Malaysia kerana masa depan ekonomi ASEAN akan dibina di atas tulang belakang teknologi, inovasi dan infrastruktur digital," katanya.
Malaysia merupakan pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur minggu depan mencatatkan peristiwa penting kerana ia turut melibatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2, dan buat julung kalinya Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang mencerminkan peningkatan penglibatan ASEAN dengan rakan kongsi antarabangsa penting.
-- BERNAMA