LONDON: Putera Harry menyuarakan hasrat untuk berdamai dengan Raja Charles dan anggota keluarga diraja Britain yang lain selepas hubungan mereka dilaporkan renggang sejak beliau berpindah ke Amerika Syarikat enam tahun lalu.
Harry, 42, yang juga anak bongsu Raja Charles mencetuskan pergolakan besar dalam keluarga diraja Britain selepas beliau dan isterinya, Meghan Markle, melepaskan tugas sebagai kerabat diraja kanan sebelum berpindah ke California pada 2020.
Pasangan itu kemudiannya beberapa kali secara terbuka mengkritik institusi diraja.
Hubungan Harry dengan abangnya, pewaris takhta Putera William, juga dilaporkan dingin sejak beberapa tahun lalu, manakala pertemuannya dengan bapanya hanya kembali berlaku baru-baru ini.
Dalam wawancara bersama majalah GQ, Harry yang baru-baru ini kembali menetap di Britain bersama Meghan dan dua anak mereka berkata, beliau kini mahu memperbaiki hubungan dengan keluarganya.
‘Perkara paling penting adalah berdamai’
“Dengan segala yang sedang berlaku di dunia, perkara paling penting adalah untuk berdamai,” katanya.
Harry berkata, beliau memahami mengapa orang ramai begitu berminat mengikuti pergolakan yang berlaku dalam keluarganya kerana ramai mungkin berdepan situasi hampir sama dalam kehidupan masing-masing.
“Ada perselisihan antara adik-beradik, ada hubungan yang terputus antara anak dengan ibu bapa, atau anak dengan salah seorang daripada ibu bapa,” katanya.
Menurut Harry, usaha untuk berdamai mungkin turut memberi inspirasi kepada individu lain untuk memperbaiki hubungan dalam keluarga mereka sendiri.
“Ada sesetengah orang yang tidak mahu ia berakhir dengan baik. Saya mahu ia berakhir dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, jurucakap Harry menjelaskan, kenyataan berkenaan bukan sindiran terhadap William atau mana-mana anggota keluarganya.
Duke of Sussex itu mengakui, luka daripada konflik masa lalu mungkin kekal, namun, beliau mahu menggalakkan semua pihak supaya tidak terus terikat dengan perkara yang telah berlaku.
“Bagi saya, sudah cukup banyak drama di dunia dan dalam kehidupan manusia untuk kita terus memanjangkan masalah keluarga.
“Ia tidak berbaloi,” katanya.
Anak-anak seronok bersekolah di Britain
Dalam wawancara panjang itu, Harry turut menyentuh beberapa perkara yang pernah dibicarakannya sebelum ini, termasuk kesan kehilangan ibunya, Puteri Diana, ketika berusia 12 tahun serta cabaran kesihatan mental yang pernah dilaluinya.
Beliau turut menjelaskan sebab kembali ke Britain, termasuk peluang untuk anak-anaknya mendapat pendidikan di negara berkenaan.
Menurut Harry, melihat anak-anaknya bersekolah di Britain memberikan makna yang besar kepadanya.
“Saya tidak menyedari betapa pentingnya perkara itu kepada saya. Saya sentiasa fikir ia sesuatu yang kami akan cuba lakukan.
“Tetapi sekarang mereka sudah dua minggu bersekolah. Mereka sangat menyukainya dan ia memberikan mereka pengalaman yang sama sekali berbeza,” katanya.
Harry turut berharap hubungannya yang tegang dengan media British akan berubah menjadi lebih baik.
Hubungan dengan media merupakan antara faktor yang mendorongnya meninggalkan Britain sebelum ini, selain membawa kepada beberapa tindakan undang-undang terhadap kumpulan akhbar.
“Saya berharap ia akan berubah. Ada beberapa pertarungan yang perlu dilakukan dan sememangnya perlu. Tetapi mudah-mudahan kita semua boleh menamatkan perkara itu,” katanya.
Harry turut berkata, sudah tiba masanya semua pihak, termasuk dirinya, keluarganya dan sebahagian media British, meninggalkan beberapa episod lalu dan bergerak ke hadapan demi kepentingan yang lebih besar. - Agensi