DUNIA

Sudan: Keadaan keselamatan semakin meruncing, lebih ramai hilang tempat tinggal

Bernama 03/11/2025 | 06:30 MYT
Konflik di Sudan telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang yang hilang tempat tinggal. - Gambar/ AP
KHARTOUM (Sudan)/ISTANBUL: Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Ahad memaklumkan bahawa seramai 1,205 rakyat Sudan dari bandar Bara dan Umm Ruwaba di negeri Kordofan Utara serta 360 lagi dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan kehilangan tempat tinggal berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Seramai 1,205 rakyat Sudan dari Bara dan Umm Ruwaba di Kordofan Utara serta 360 lagi dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan kehilangan tempat tinggal susulan keadaan keselamatan yang semakin meruncing, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
  • Mereka yang terjejas berpindah ke pelbagai lokasi dalam negeri Kordofan serta ke negeri White Nile, dengan gelombang pemindahan terbaharu menyusul selepas 36,625 orang hilang tempat tinggal antara 26 hingga 31 Oktober lalu.
  • Konflik antara tentera Sudan dan Pasukan Separa Tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak 15 April 2023 telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang menjadi pelarian atau berpindah dalam negara, menurut laporan PBB dan sumber tempatan.


Dalam satu kenyataan, IOM berkata pasukannya yang beroperasi di bawah program Displacement Tracking Matrix menganggarkan daripada jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Kordofan Utara, seramai 580 melarikan diri dari Bara dan 625 dari Umm Ruwaba.

Agensi itu menambah bahawa mereka yang hilang tempat tinggal berpindah ke pelbagai lokasi di Kordofan Utara serta beberapa bandar di negeri White Nile di selatan Sudan.

Gelombang pemindahan paksa terbaharu itu menyusul selepas beberapa siri pergerakan awal di Kordofan Utara, yang menyaksikan 36,625 orang hilang tempat tinggal antara 26 dan 31 Okt lepas, menurut organisasi berkenaan.

Dalam kenyataan berasingan, IOM berkata 360 orang telah kehilangan tempat tinggal di negeri Kordofan Selatan, termasuk 180 dari Al-Abbasiya dan 180 dari Delami, yang berpindah ke kawasan lain dalam negeri berkenaan serta ke Tandalti di negeri White Nile.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan Pasukan Separa Tentera Rapid Support Forces (RSF) terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa.

Konflik itu telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang yang hilang tempat tinggal sebagai pelarian serta penduduk yang berpindah di dalam negara, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber tempatan.

-- BERNAMA




#Sudan #perang saudara #punca konflik Sudan #angka korban