Sudan, negara Islam terbaharu iktiraf Israel

Hafizi Rosli
Oktober 24, 2020 02:41 MYT
Donald Trump bercakap dalam talian dengan pemimpin Sudan dan Israel, sambil diperhatikan Setiausaha Negara Mike Pompeo (kiri), penasihat kanan Jared Kushner dan Penasihat Keselamatan Robert O'Brien, di Rumah Putih, 23 Okt, 2020. (Foto AP)
Washington: Sudan menjadi negara Islam terbaharu mengiktiraf Israel.
Pengumuman yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump itu sekali gus memperlihatkan kejayaan diplomatik beliau menjelang pilihan raya presiden AS awal November depan.
Ia juga memberikan pencapaian dasar luar untuk Trump dengan mengangkat lagi sekutunya, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"Negara Israel dan Republik Israel bersetuju untuk berdamai. Ia diusahakan sejak beberapa tahun lalu untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara.
"Untuk beberapa dekad, Sudan berada dalam mod ketegangan dengan Israel.
"Hari ini, perjanjian perdamaian ini akan memperkasakan lagi keselamatan Israel dan mengakhiri pengasingan Sudan dari dunia.
"Ia akan membuka peluang baharu kepada perdagangan, pendidikan dan kajian dengan kerjasama kedua-dua negara ini," kata Trump pada Jumaat.
Pengumuman itu menyaksikan pengukuhan hubungan Sudan dengan Negara Barat.
Sebelum ini, hubungan diplomatik telah terjalin antara Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, dengan pentadbiran Trump bertindak sebagai perantara.
Ia yang pertama sejak Jordan mengiktiraf Israel pada 1990-an dan Mesir pada 1970-an.
Netanyahu memberi keutamaan untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara Afrika dan Arab yang sebelum ini memusuhinya.
Dakwanya, perjanjian itu juga bertujuan untuk menyatukan negara-negara Arab untuk melawan musuh bersama mereka, Iran.
#Donald Trump #Benjamin Netanyahu #Sudan #Israel #hubungan #penyatuan #kerjasama #iktiraf Israel #negara arab #kempen pilihan raya #pilihan raya presiden #negara Afrika #musuh #sekutu #Iran #Amerika Syarikat #berdamai