Sulawesi Tengah diisytihar darurat 14 hari

Astro Awani
Oktober 1, 2018 02:56 MYT
Sebuah masjid antara yang musnah susulan gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah, 29 Sept, 2018. (Foto AP)
Sulawesi Tengah diisytihar darurat 14 hari sehingga 11 Oktober ini susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda wilayah itu.
Pihak berkuasa berkata, darurat memudahkan kerajaan pusat dan wilayah menggerakkan anggota, logistik, peralatan dan dana untuk penduduk dan kawasan terjejas.
Kerajaan Indonesia telah berjanji memperuntukkan RM155.61 juta sebagai dana bantuan kepada mangsa.
Jumlah itu mungkin ditingkatkan bagi memenuhi keperluan bantuan dan pembinaan semula infrastruktur segera.
Agensi bantuan di negara itu mengakui pihaknya berdepan cabaran sukar untuk tiba di kawasan terjejas gempa dan tsunami bagi mengagihkan bantuan kepada mangsa.
Antaranya, agensi bantuan Save The Children yang menarik perhatian mengenai amaran kerajaan bahawa angka korban kemungkinan besar akan meningkat kepada ribuan orang, menjadikan keadaan makin serius.
Menurut aktivis Save The Children, Tom Howell, antara yang teruk terjejas ialah Donggala.
Bantuan kritikal diperlukan termasuk makanan, selimut dan ubat-ubatan, khususnya kepada kanak-kanak yang memerlukan.
#bantuan #darurat #donggala #gempa bumi #Indonesia #mangsa #Palu #Sulawesi #tsunami