DUNIA

Suruhanjaya Eropah bakal laksana tindakan baharu terhadap Israel

Astro Awani 16/09/2025 | 12:00 MYT
Pinho (foto) berkata butiran penuh pakej masih belum didedahkan, namun ia dijangka merangkumi penamatan sementara akses keutamaan Israel ke pasaran Eropah melalui perjanjian perdagangan sedia ada. -Gambar fail/European Commission
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah dijadual mengumumkan pakej tindakan baharu terhadap Israel pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Eropah akan umumkan pakej tindakan terhadap Israel termasuk penggantungan peruntukan perdagangan dan sokongan dua hala susulan laporan genosid oleh PBB.
  • Langkah ini dijangka melibatkan sekatan terhadap menteri Israel serta penamatan sementara akses keutamaan Israel ke pasaran EU.
  • Presiden Suruhanjaya Eropah turut umum penubuhan Kumpulan Penyumbang Palestin dan menyeru gencatan senjata serta bantuan kemanusiaan tanpa halangan.


Ini termasuk cadangan menggantung beberapa peruntukan perdagangan dalam Perjanjian Persatuan EU-Israel, susulan laporan genosid oleh PBB dan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat.

Jurucakap Suruhanjaya, Paula Pinho memaklumkan kepada media bahawa butiran penuh pakej tersebut masih belum didedahkan, namun ia dijangka merangkumi:
- Penggantungan sokongan dua hala kepada kerajaan Israel
- Sekatan terhadap menteri Israel yang digelar ekstremis serta penjarah haram
- Penamatan sementara akses keutamaan Israel ke pasaran Eropah melalui perjanjian perdagangan sedia ada

Langkah ini menyusuli ucapan tahunan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dalam State of the Union minggu lalu, di mana beliau menyatakan bahawa Eropah perlu bertindak lebih lagi dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Von der Leyen turut mengumumkan penubuhan Kumpulan Penyumbang Palestin bulan depan, termasuk instrumen khas untuk pemulihan Gaza, serta menyeru gencatan senjata segera dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.

EU merupakan rakan dagang terbesar Israel, dengan nilai perdagangan mencecah €42.6 bilion tahun lalu.

Sebarang penggantungan perjanjian perdagangan memerlukan sokongan majoriti kelayakan daripada 15 daripada 27 negara anggota yang mewakili 65% populasi EU.

Israel sebelum ini menolak dakwaan genosid dan menyifatkan kenyataan von der Leyen sebagai propaganda Hamas, manakala Menteri Luar Gideon Saar mengecam EU kerana menghantar mesej yang salah kepada Asia Barat.








#Ursula von der Leyen #Suruhanjaya Eropah #Israel #genosid di Gaza #Paula Pinho