DUNIA

Suspek bunuh dua anggota polis mungkin mampu sembunyi dalam hutan selama 'berbulan' - Pakar jenayah

Astro Awani 28/08/2025 | 02:20 MYT
Anggota polis menaiki helikopter yang berlepas dari kawasan arahan di Feathertop Winery, Porepunkah, Victoria, Australia. - Foto AP
VICTORIA: Usaha memburu suspek bersenjata yang didakwa menembak mati dua anggota polis di kawasan luar bandar Porepunkah, Australia kini memasuki hari ketiga, dengan pakar jenayah memberi amaran bahawa lelaki itu mungkin mampu bersembunyi di hutan selama berbulan-bulan, bergantung kepada kemahiran dan persediaan awal.


Ringkasan AI
  • Dezi Freeman dipercayai bersembunyi di hutan Porepunkah selepas menembak mati dua anggota polis ketika operasi waran geledah.
  • Operasi masuk hari ketiga di tengah hujan lebat dan suhu rendah; pakar percaya suspek mampu bertahan berbulan jika cukup bekalan.
  • Lebih 100 anggota polis dikerah, sekolah ditutup, dan penduduk diarahkan kekal di rumah sementara operasi diteruskan tanpa henti.


Suspek dikenali sebagai Dezi Freeman, 56, yang dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan lebat selepas insiden tembakan pada pagi Selasa lalu.

Mangsa terdiri daripada Detektif Neal Thompson, 59, dan Konstabel Kanan Vadim De Waart, 35, yang ditembak ketika cuba melaksanakan waran geledah di sebuah hartanah separa luar bandar.

Dua anggota polis maut ditembak lelaki bersenjata

Polis kini berdepan cuaca buruk termasuk hujan lebat, suhu rendah dan kemungkinan salji, yang menyukarkan operasi pencarian di kawasan pergunungan Victoria.

Menurut Biro Meteorologi, suhu dijangka turun serendah 2°C, dengan angin kuat dan salji di altitud melebihi 900 meter.

Pakar kriminologi Vincent Hurley berkata Freeman mungkin seorang “prepper” yang telah menyimpan bekalan makanan, air, pakaian dan senjata di lokasi tersembunyi seperti gua.

“Jika dia benar-benar bersedia, dia boleh bertahan selama berminggu atau berbulan,” katanya.

Namun, Hurley turut menjelaskan bahawa cuaca sejuk dan basah boleh melemahkan fizikal suspek, manakala pasukan polis boleh bergilir dalam operasi, memberi kelebihan kepada pihak berkuasa dari segi ketahanan dan strategi.

Polis telah mengepung kawasan sekitar Porepunkah dan mengarahkan penduduk berkurung di dalam rumah sehingga diberitahu.

Sekolah rendah tempatan turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Lebih 100 anggota polis dan unit khas telah dikerahkan ke lokasi, termasuk pasukan taktikal dan unit pengesan.

Freeman digambarkan sebagai individu yang berbahaya dan bersenjata, dengan latar belakang sebagai "warganegara berdaulat" yang menolak autoriti undang-undang.

Polis percaya dia memiliki beberapa senjata api berkuasa tinggi dan mengenali kawasan hutan lebih baik daripada pasukan keselamatan.

Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Mike Bush, menegaskan bahawa operasi akan diteruskan tanpa henti.

“Kami akan gunakan segala sumber untuk menjejak dan menahan suspek ini. Dia telah membunuh dua anggota kami dan mencederakan seorang lagi. Kami tidak akan berhenti,” katanya dalam sidang media semalam.






#usaha memburu #suspek #Dezi Freeman #hutan