[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Suspek dakwa 'bosan' sebelum rempuh tujuh murid sekolah

Astro Awani 02/05/2025 | 10:20 MYT
Pihak berkuasa memeriksa kenderaan yang dipercayai merempuh sekumpulan murid sekolah rendah di Osaka. -AP
OSAKA: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa merempuh tujuh murid sekolah rendah dengan keretanya dalam kejadian berhampiran Sekolah Rendah Senbon, di sini, pada Khamis.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki ditahan selepas merempuh tujuh murid sekolah rendah dengan keretanya berhampiran Sekolah Rendah Senbon.
  • Suspek, Yuki Yazawa, menyatakan bosan dengan segalanya sebagai motif perbuatannya, menyebabkan seorang murid perempuan cedera parah dan enam lagi cedera ringan.
  • Pihak sekolah akan menyediakan sokongan psikologi kepada murid-murid yang terkesan, dan polis akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap motif suspek.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika murid-murid itu sedang berjalan pulang selepas sesi persekolahan.
Suspek, Yuki Yazawa, 28, berasal dari Tokyo, Jepun dilapor menyewa kereta beberapa hari sebelum insiden.
Polis Osaka mengesahkan suspek menyatakan "bosan dengan segalanya" sebagai motif tindakan, sebelum dia dengan sengaja merempuh kumpulan kanak-kanak tersebut.
Akibat rempuhan itu, seorang murid perempuan mengalami kecederaan parah dengan rahang patah, manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan.
Seorang saksi kejadian memberitahu media tempatan bahawa selepas insiden berlaku, murid-murid menjerit kesakitan, manakala suspek dilihat terkejut dan tidak berkata apa-apa sebelum dia ditahan pihak sekolah.
Ketua Polis Osaka, dalam kenyataan berkata: “Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap motif suspek dan akan memastikan keadilan ditegakkan. Keselamatan murid-murid sekolah adalah keutamaan pihak berkuasa.”
Pihak sekolah dalam pada itu mengumumkan akan menyediakan sokongan psikologi kepada murid-murid yang terkesan.
#rempuh tujuh murid sekolah rendah #Yuki Yazawa #murid perempuan cedera parah #Sekolah Rendah Senbon