SEORANG pekerja wanita di sebuah kedai runcit di Indonesia terpaksa meminta maaf daripada wanita yang ditangkap mencuri gula-gula coklat di premis perniagaan itu.

Dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini, pekerja kedai Alfamart itu dilihat membaca permohonan maaf sambil diperhatikan suspek bersama peguamnya, lapor Jakarta Globe.

"Saya pekerja Alfamart, dan izinkan saya menjelaskan video yang telah tersebar di media sosial.

"Wujud salah faham di antara kami berdua yang telah merosakkan reputasi Puan Mariana.

"Saya memohon maaf kepada Puan Mariana kerana menyebarkan video itu," kata pekerja itu ketika membacakan kenyataan dipercayai disediakan oleh peguam wanita berkenaan.

Difahamkan suspek berang selepas video kejadian curi membabitkan dirinya tular di media sosial lantas mengupah peguam untuk mendapatkan permohonan maaf secara terbuka daripada pekerja berkenaan.

Pekerja itu dipercayai bersetuju untuk membuat permohonan maaf selepas peguam suspek mengugutnya dengan Undang-Undang Maklumat Elektronik dan Transaksi kerana menyebarkan maklumat palsu.

Video tular itu dipercayai dirakam di dalam kedai Alfamart di Cisauk, Tangerang Selatan, di wilayah Banten, pada Sabtu.

Dalam kejadian yang dirakam CCTV itu, suspek dilihat cuba melarikan diri selepas dipercayai mencuri coklat dan masuk ke dalam kereta sebelum dihalang seorang pekerja kedai.

Kedua-dua mereka kemudian terlibat dalam pertengkaran mengenai barang yang didakwa tidak dibayar.

“Biar saya periksa barang-barang itu. Mengapa kamu tidak jujur ​​kepada kami?” kedengaran pekerja itu menjerit kepada suspek.

Suspek akhirnya bersetuju untuk kembali ke kedai namun tidak dapat dipastikan jika dia membayar harga barang tersebut.

Susulan kejadian itu, netizen Indonesia tampil meluahkan kemarahan dan menularkan hashtag #Alfamart dan #Ngutil (pencuri) yang seterusnya menjadi trend.

"Melampau, orang yang ditangkap mencuri boleh pula beri tekanan kepada pekerja Alfamart hanya kerana dia mampu mengupah peguam.

"Dia tidak meminta maaf. Sebaliknya, pekerja wanita Alfamart itu pula terpaksa berbuat demikian," kata wartawan kanan Zulfikar Akbar di akaun Twitter.

Seorang lagi netizen menulis: "Dia boleh membayar peguam berjuta-juta (rupiah) tetapi tidak boleh membayar kurang daripada Rp100,000 untuk bar coklat di Alfamart."

Sumber Alfaria Trijaya, syarikat induk yang memiliki Alfamart, dalam satu kenyataan mengecam video permohonan maaf dipercayai dilakukan secara paksa itu.

“Pihak pengurusan Alfamart menyokong penuh kakitangan kami yang mengikut siasatan awal telah menjalankan tugasnya mengikut prosedur sedia ada.

"Kami menentang sebarang percubaan untuk menakut-nakutkan pekerja kami kerana menjalankan tugasnya dengan betul," kata Solihin, pengarah hal ehwal korporat syarikat itu dalam satu kenyataan video yang disiarkan di akaun Twitter syarikat.

Beliau berkata syarikat telah melantik peguam terkenal Hotman Paris Hutapea untuk mewakili pekerja itu.

Polis Tangerang Selatan dalam pada itu mengesahkan menerima aduan kejadian berkenaan pada Isnin.