INTERNATIONAL
Suspek kebakaran hutan Korea Selatan dipanggil minggu depan untuk siasatan
Seorang lelaki melihat keadaan kebakaran hutan di Andong, Korea Selatan, 26 Mac 2025. REUTERS
SEOUL: Seorang lelaki yang disyaki menyebabkan kebakaran hutan yang besar di wilayah tenggara Korea Selatan akan dipanggil untuk disoal siasat minggu depan atas dakwaan melanggar Akta Perlindungan Hutan, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.
Suspek berusia 50-an itu dipercayai mencetuskan kebakaran pada 11.24 pagi Sabtu lalu ketika melakukan upacara penghormatan nenek moyang di tanah perkuburan keluarga di sebuah bukit di Daerah Uiseong, Wilayah Gyeongsang Utara.
Kebakaran itu merebak dengan pantas akibat angin kencang dan keadaan kering, mengakibatkan kemusnahan besar sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar 5 petang pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa, 28 orang maut dan 25 lagi cedera di wilayah itu sahaja, dengan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan.
Polis kehakiman khas yang bernaung di bawah pentadbiran daerah Uiseong merancang untuk menyoal siasat suspek pada Isnin selepas menjalankan siasatan awal terhadap anak perempuannya.
Pendakwa raya berkata siasatan perlu meneliti sama ada suspek melanggar Akta Perlindungan Hutan, Akta Jenayah, serta Akta Perlindungan Warisan Budaya, ekoran jumlah korban dan kemusnahan besar terhadap aset budaya serta harta benda lain.
Mereka turut menggesa agar siasatan dijalankan secara bersama dengan pihak polis dan agensi berkaitan memandangkan kebakaran hutan itu menjejaskan lima bandar dan daerah di wilayah berkenaan.
-- BERNAMA