Suspek pengebom Bangkok warga Turki, kata tentera Thailand

AFP
Ogos 29, 2015 14:01 MYT
Gambar yang diedarkan polis Thailand ini menunjukkan suspek, Adem Karadag, yang didakwa memiliki beberapa pasport yang berlainan. - EPA/Polis Diraja Thai
Lelaki yang kini ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden letupan bom di kawasan Kuil Erawan di Bangkok dilaporkan seorang warganegara Turki.
Ketika pihak berkuasa menahannya, suspek tersebut turut memiliki beberapa pasport yang berlainan, kata seorang pegawai kanan tentera pada Sabtu.
"Dia warganegara Turki. Dia juga membawa banyak pasport. Sesuatu yang aneh jika dia memiliki banyak pasport," kata jurucakap Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Kolonel Banphot Phunphien.
Pihak polis dan tentera yang menyerbu penginapan lelaki berusia 28 tahun itu di sebuah pangsapuri di timur Bangkok pada pagi Sabtu, turut menemui komponen-komponen membuat bom dan lebih dari sedozen pasport.
Dalam sebuah sidang media, jurucakap polis Prawut Thavornsiri berkata para pegawai telah menemui ‘beberapa pasport dari sebuah negara’ di pangsapuri suspek namun enggan mengulas lebih lanjut.
Walau bagaimanapun, sewaktu beliau bercakap kepada media, rakaman pasport dengan identiti Turki dan diikat dengan getah jelas disiarkan. Halaman butiran pasport tersebut juga menunjukkan gambar suspek yang bernama Adem Karadag.
#Adem Karadag #Bangkok #bom #suspek #Turki