Seorang suspek lelaki yang menyerbu dan melepaskan tembakan di sebuah kasino di Manila, Filipina tengah malam tadi telah membunuh diri dengan membakar dirinya sendiri.

Ketua Polis Negara Filipina, Ronald dela Rosa yang memaklumkan perkara itu kepada siaran radio DZMM awal pagi ini berkata mayat suspek telah ditemui menjelang waktu subuh di dalam salah sebuah bilik hotel di pusat hiburan Resorts World Manila.

“Dari pemerhatian kami (polis) suspek telah membakar ditinya. Suspek telah membunuh diri,” maklum Ketua Polis Manila, Oscar Albayalde kepada satu lagi stesen radio.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 30 pengunjung cedera apabila suspek yang bersenjata dan bertopeng melepaskan tembakan di sebuat pusat kasino dan hotel menyebabkan suasana panik dan orang ramai bertempiaran.

Lelaki terbabit turut membakar meja judi.

Polis turut menolak andaian awal bahawa ia satu serangan oleh kumpulan pengganas dan mengatakan ia berkemungkinan bermotifkan rompakan.

Suspek dikatakan merupakan seorang warga asing berketurunan Caucasian dan berketinggian 6 kaki selain berbahasa Inggeris.

Laporan awal mengatakan dia berjaya meloloskan diri di tengah-tengah asap tebal.