[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Suspek serangan Pantai Bondi akan didakwa dalam beberapa jam - PM Australia

Astro Awani 17/12/2025 | 00:45 MYT
Albanese berkata siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan rasmi terhadap Naveed dalam tempoh terdekat. - Foto fail/REUTERS
SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengesahkan bahawa suspek utama dalam insiden tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi akan didakwa dalam beberapa jam akan datang, selepas beliau sedar daripada koma dan kini berada dalam tahanan polis.

Naveed Akram, 24, anak kepada Sajid Akram yang maut ditembak polis di tempat kejadian, telah sedar di hospital pada Selasa malam dan kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa.

Kedua-dua mereka didakwa melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang menyambut perayaan Hanukkah pada Ahad lalu, mengorbankan 15 orang dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Perdana Menteri Albanese berkata, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan rasmi terhadap Naveed dalam tempoh terdekat.

“Kami akan memastikan keadilan ditegakkan. Ini adalah serangan yang amat kejam terhadap komuniti kita,” katanya dalam satu sidang media.

Media tempatan turut melaporkan bahawa Naveed pernah disiasat oleh Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) pada 2019 kerana mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan ekstremis, namun tidak dikenakan sebarang tindakan ketika itu.

Insiden ini telah mencetuskan kejutan di seluruh negara, dengan ribuan orang menghadiri upacara memperingati mangsa di Bondi Pavilion.

Kerajaan persekutuan juga sedang mempertimbangkan untuk memperketat undang-undang pemilikan senjata api susulan tragedi tersebut.






#Pantai Bondi #Naveed Akram #Anthony Albanese #insiden tembakan