ISTANBUL: Switzerland merancang memperkenalkan peraturan lebih ketat terhadap platform komunikasi utama dan enjin carian bagi memperkukuh perlindungan golongan bawah umur dalam talian, menurut Majlis Persekutuan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Di bawah cadangan undang-undang itu, platform utama dan enjin carian, termasuk yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), akan diwajibkan menilai risiko perkhidmatan mereka terhadap golongan bawah umur serta mengambil langkah untuk mengurangkan risiko berkenaan.
Penyedia perkhidmatan juga akan dilarang memaparkan iklan kepada golongan bawah umur berdasarkan pemprofilan, iaitu kaedah yang melibatkan analisis tingkah laku pengguna dalam talian dan ciri-ciri peribadi mereka.
Majlis Persekutuan berkata draf undang-undang itu menerima sokongan meluas sepanjang proses rundingan, termasuk daripada majoriti parti politik yang diwakili dalam Perhimpunan Persekutuan, kanton dan persatuan kebangsaan.
Rang undang-undang yang dicadangkan itu bertujuan memperkukuh hak pengguna dan meningkatkan ketelusan dalam kalangan platform komunikasi utama serta enjin carian, memandangkan orang ramai semakin bergantung pada perkhidmatan berkenaan untuk mendapatkan maklumat.
Undang-undang itu juga akan mewajibkan penyedia platform komunikasi mewujudkan prosedur yang membolehkan pengguna melaporkan dengan mudah kandungan yang disyaki menyalahi undang-undang.
Perundangan itu akan terpakai kepada platform komunikasi dan enjin carian yang sangat besar, manakala perkhidmatan yang lebih kecil tidak akan tertakluk pada skopnya.
Majlis Persekutuan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mempertimbangkan sama ada langkah tambahan bagi melindungi golongan bawah umur perlu dimasukkan dalam undang-undang berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU