DUNIA
Syarat gencatan senjata ditetapkan Hamas tidak boleh diterima - Amerika

Steve Witkoff menyifatkan respons Hamas itu sebagai “langsung tidak boleh diterima.” - Gambar fail Reuters
GAZA: Hamas pada Sabtu memaklumkan, pihaknya telah memberi maklum balas terhadap cadangan pelan gencatan senjata di Gaza yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS), sambil mengulangi tuntutan agar perang ditamatkan sepenuhnya.
Namun, utusan khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff menyifatkan respons Hamas itu sebagai “langsung tidak boleh diterima.”
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata, cadangan balas yang diserahkan kepada para perantara iaitu Qatar dan Mesir bertujuan mencapai “gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh tentera dari Semenanjung Gaza, serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat dan keluarga kami di Gaza.”
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Hamas menawarkan untuk membebaskan 10 tahanan Israel yang masih hidup serta menyerahkan 18 mayat, sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang telah dipersetujui.Kenyataan ini dikeluarkan selepas seorang pegawai kanan Hamas memaklumkan kepada CNN bahawa mereka telah mengemukakan cadangan balas tiga penjuru, termasuk permintaan agar AS memberi jaminan rundingan ke arah gencatan senjata kekal akan diteruskan dan tiada pertempuran berlaku selepas jeda; bantuan kemanusiaan diagihkan menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); serta tentera Israel (IDF) ditarik semula ke posisi yang dipegang pada 2 Mac lalu.
Witkoff menerusi hantaran di platform X (dahulu Twitter) berkata, beliau telah menerima maklum balas Hamas dan menyifatkannya sebagai “satu langkah ke belakang” serta “langsung tidak boleh diterima.”
“Hamas sepatutnya menerima kerangka perjanjian yang kami kemukakan sebagai asas rundingan jarak dekat, yang boleh dimulakan serta-merta minggu hadapan,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pegawai Israel memberitahu CNN, pihaknya melihat respons Hamas itu sebagai penolakan terhadap cadangan Witkoff, sebaliknya memperkenalkan syarat baharu yang ditetapkan sendiri oleh kumpulan itu.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataan berasingan pada hari sama turut mengulangi pendirian Witkoff dengan menyatakan: “Israel telah bersetuju dengan pelan kemas kini Witkoff bagi membebaskan tebusan kami, namun Hamas terus berkeras menolak.”
“Israel akan meneruskan usaha untuk membawa pulang semua tebusan dan menewaskan Hamas,” kata kenyataan itu lagi.
Isi kandungan pelan AS
Pelan gencatan senjata yang disokong AS dan telah dipersetujui oleh Israel, seperti dilihat oleh CNN pada Jumaat, mencadangkan agar Hamas membebaskan 10 tebusan Israel dan menyerahkan 18 mayat, sebagai pertukaran dengan pembebasan 125 tahanan Palestin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, serta 1,111 rakyat Gaza yang ditahan sejak perang bermula.
Rundingan ke arah gencatan senjata kekal akan dimulakan sejurus hari pertama gencatan 60 hari dimulakan.
Pelan itu juga membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza serta-merta dan diagihkan menerusi saluran yang dipersetujui, termasuk PBB dan Bulan Sabit Merah.
Namun, draf perjanjian tersebut tidak mengandungi jaminan untuk menamatkan perang secara kekal - tuntutan utama Hamas - dan tiada jaminan bahawa gencatan senjata akan dilanjutkan selagi rundingan berjalan.
Sebaliknya, dokumen itu menyatakan bahawa Presiden AS, Donald Trump, “komited untuk memastikan rundingan yang jujur diteruskan sehingga perjanjian akhir dicapai.”
Hamas sebelum ini menyatakan rasa keberatan untuk menerima pelan tersebut.
Ahli biro politik Hamas, Bassem Naim, menulis di Facebook pada Khamis bahawa kerangka tersebut “tidak memenuhi sebarang tuntutan rakyat kami” namun menegaskan perbincangan tetap diteruskan.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin buruk
Pertelingkahan antara Israel dan Hamas ini berlaku ketika keadaan kebuluran di Semenanjung Gaza terus meruncing.
Sekatan Israel selama 11 minggu terhadap bantuan kemanusiaan menyebabkan penduduk Gaza berdepan kebuluran.
Walaupun sekatan itu telah ditamatkan minggu lalu, bantuan yang memasuki wilayah itu sangat terhad dan sebahagiannya telah dirompak oleh orang awam yang terdesak.
Beberapa individu turut terbunuh dalam kekacauan yang berlaku di lokasi pengagihan bantuan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hampir 80 trak bantuan yang bergerak di selatan dan tengah Gaza telah dirompak pada Sabtu.
Dalam kenyataan di platform X, WFP berkata, 77 trak yang membawa tepung gandum telah melintasi sempadan ke Gaza namun kesemuanya “dihentikan di tengah jalan, dan bekalan makanan dirampas oleh penduduk yang kelaparan.”
Tambah kenyataan itu: “Selepas 80 hari dihentikan sepenuhnya, komuniti sedang kelaparan dan mereka tidak lagi sanggup melepaskan makanan yang lalu di hadapan mereka.” - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami