DUNIA

Syarikat Indonesia, Perancis jalin kerjasama bangunkan e-fuel

Bernama 04/06/2025 | 22:45 MYT
Kerjasama itu dimeterai semasa Forum Perniagaan Indonesia-Perancis pada 28 Mei dan memberi tumpuan kepada pembangunan e-metanol dan eSAF. - Foto PERTAMINA
JAKARTA: PT Pertamina New Renewable Energy (NRE), sebuah syarikat subsidiari milik penuh Pertamina Indonesia dalam bidang tenaga baharu dan boleh diperbaharui, menjalin kerjasama dengan syarikat Perancis MGH Energy untuk meneroka kaedah baharu dalam pengeluaran bahan api elektro (e-fuel), menurut kenyataan rasmi pada Rabu, lapor Xinhua.

Kerjasama itu dimeterai semasa Forum Perniagaan Indonesia-Perancis pada 28 Mei dan memberi tumpuan kepada pembangunan e-metanol dan eSAF (bahan api penerbangan mampan elektro), menurut Ketua Pegawai Eksekutif PT Pertamina NRE, John Anis.

“Indonesia memiliki potensi besar dalam sumber tenaga boleh diperbaharui, daripada tenaga solar hingga hidro, yang boleh dijadikan asas untuk pengeluaran e-fuel berskala industri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Rabu.

Beliau menambah, kerjasama strategik ini bukan sahaja bertujuan membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengurangkan pelepasan karbon, malah turut menjadi peluang penting bagi pemindahan teknologi. Ia dijangka mempercepatkan pengeluaran dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Indonesia.

Naib Presiden Komunikasi Korporat PT Pertamina, Fadjar Djoko Santoso pula menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani perubahan iklim dan mencapai matlamat alam sekitar negara.

“PT Pertamina NRE memainkan peranan penting dalam peralihan kepada tenaga bersih. Kerjasama ini merupakan langkah strategik ke arah sistem tenaga yang lebih mampan, adil dan terbuka,” katanya.

MGH Energy dikenali dengan tumpuannya terhadap usaha pengurangan karbon dalam sektor pengangkutan, khususnya maritim dan penerbangan.

-- BERNAMA-XINHUA






#Pertamina #MGH Energy #e-fuel #tenaga baharu