Skip to main content

Dunia

Syarikat Jerman terima bayaran balik ratusan juta susulan pembatalan tarif AS - Laporan

71763546867_TBUSTARIFFS.jpg
Syarikat Jerman yang disenaraikan menerima pemulangan semula berjumlah kira-kira €790 juta (AS$925 juta).
Advertisement

BERLIN: Syarikat-syarikat Jerman telah memperoleh semula ratusan juta euro daripada lebihan bayaran tarif berikutan keputusan bersejarah Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Februari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Jumaat yang memetik majalah perniagaan Wirtschaftswoche.

Syarikat Jerman yang disenaraikan menerima pemulangan semula berjumlah kira-kira €790 juta (AS$925 juta), lapor Wirtschaftswoche.

Gergasi logistik DHL sahaja menerima €416 juta. Syarikat yang disenaraikan di DAX itu berkata baru-baru ini bahawa ia berhasrat untuk menyerahkan wang berkenaan kepada pelanggannya.

Syarikat teknologi perubatan Siemens Healthineers menerima lebih sedikit daripada €200 juta, kata Ketua Pegawai Kewangan Jochen Schmitz pada lewat Julai.

Syarikat-syarikat lain juga menjangkakan pemulangan semula dalam jumlah yang besar pada lewat tahun ini, lapor Wirtschaftswoche.

Secara keseluruhan, Kerajaan AS telah memulangkan kira-kira US$81.3 bilion antara Oktober 2025 dan akhir Jun, berbanding kurang daripada AS$5.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Mahkamah Agung AS memutuskan pada pertengahan Februari bahawa tarif yang dikenakan di bawah undang-undang darurat adalah tidak sah, selepas mendapati Presiden Donald Trump telah melampaui bidang kuasanya apabila mengenakan tarif meluas ke atas puluhan rakan dagang.

Trump sejak itu telah mengenakan tarif baharu di bawah perundangan yang berbeza.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement