DUNIA

Syarikat AS kelam-kabut tangani yuran baharu visa pekerja mahir

Bernama 20/09/2025 | 22:00 MYT
Pada Jun lepas, lebih 10,000 individu dilaporkan bekerja di AS menggunakan visa H1B di Amazon, manakala Microsoft dan Meta masing-masing mempunyai kira-kira separuh daripada jumlah itu.
WASHINGTON: Syarikat besar di Amerika Syarikat (AS) sedang menasihati pekerja asing mereka dengan segera supaya kekal berada di negara itu selepas Presiden Donald Trump mengenakan yuran baharu yang tinggi bagi visa pekerja mahir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan media.

Pekerja dengan visa H1B yang kini berada di luar negara dinasihatkan pulang ke AS dalam tempoh 24 jam, menurut Business Insider yang memetik kakitangan serta komunikasi dalaman di syarikat teknologi Amazon, Meta dan Microsoft, selain bank JPMorgan.

Satu memo dalaman Amazon menyatakan. kakitangan yang gagal pulang dalam masa ditetapkan diminta kekal di lokasi masing-masing sehingga makluman lanjut, menurut Business Insider.

Syarikat-syarikat itu bimbang pengambilan pekerja asing akan menjadi jauh lebih mahal atau bahkan mustahil pada masa depan sekiranya mereka mahu kembali ke AS selepas berada di luar negara, menurut laporan itu.

Pada Jumaat, Trump secara mengejut mengenakan yuran tahunan baharu sebanyak AS$100,000 bagi visa H1B, yang sebelum ini hanya melibatkan bayaran pemprosesan beberapa ribu dolar AS.

Akhbar The New York Times memetik data kerajaan yang menunjukkan pada Jun lepas, lebih 10,000 individu bekerja di AS menggunakan visa H1B di Amazon, manakala Microsoft dan Meta masing-masing mempunyai kira-kira separuh daripada jumlah itu.

Setiausaha Perdagangan AS, Howard Luttnick berkata, perubahan yang diumumkan itu bermakna syarikat AS tidak lagi berbaloi membawa masuk pekerja yang kurang berpengalaman untuk dilatih.

Menurutnya, syarikat perlu menilai sama ada calon pekerja cukup bernilai untuk membayar tambahan AS$100,000 kepada kerajaan, sekali gus mendorong lebih banyak firma menggaji pekerja tempatan.

-- BERNAMA



#yuran pekerja mahir #visa H1B #pekerja asing #Amazon