DUNIA
Syarikat AS labur GBP150 bilion di UK sempena lawatan Trump

Amerika Syarikat mengumumkan pelaburan bernilai GBP150 bilion sempena lawatan negara Presiden Donald Trump ke Britain. - Gambar/ Reuters
LONDON: Pelaburan bernilai GBP150 bilion (US$205 bilion) dari Amerika Syarikat diumumkan bersempena lawatan negara Presiden Donald Trump ke Britain, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat mengumumkan pelaburan bernilai GBP150 bilion sempena lawatan negara Presiden Donald Trump ke Britain, yang dijangka mewujudkan sekitar 7,600 pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh negara.
- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyambut baik pelaburan tersebut sebagai bukti kekuatan ekonomi negara dan komitmen terhadap hubungan global, dengan firma seperti Blackstone, Prologis dan Palantir antara yang terlibat.
- Lawatan Trump turut menyaksikan kehadiran tokoh korporat seperti Tim Cook dan Sam Altman, serta dijangka menghasilkan perjanjian teknologi baharu, meskipun isu tarif eksport keluli ke AS masih belum diselesaikan.
"Apabila kita menyokong kecemerlangan Britain, memperjuangkan industri bertaraf dunia dan menjalin hubungan global yang lebih mendalam terutama dengan rakan seperti AS, kita membantu membentuk masa depan generasi akan datang serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Pelaburan ini mencerminkan kekuatan ekonomi Britain dan menjadi isyarat jelas bahawa negara kita terbuka, bercita-cita tinggi dan bersedia memimpin.
"Pekerjaan, pertumbuhan dan peluang adalah janji saya kepada golongan pekerja, dan inilah yang disampaikan oleh lawatan negara ini," kata Starmer.
Antara firma yang terlibat ialah syarikat pengurusan aset Blackstone, yang akan melabur GBP90 bilion, selain tambahan GBP10 bilion yang diumumkan sebelum ini untuk membangunkan pusat data.
Firma lain termasuk syarikat pelaburan Prologis dengan komitmen GBP3.9 bilion, serta syarikat perisian Palantir dengan pelaburan GBP1.5 bilion.
Aliran pelaburan baharu dari AS itu hadir ketika Starmer dan Trump dijangka menandatangani perjanjian teknologi pada Khamis.
Antara tokoh korporat AS yang hadir pada jamuan di Istana Windsor ialah Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, dan Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman.
Mesyuarat Starmer-Trump turut dijangka membincangkan langkah lain untuk memperkukuh hubungan ekonomi Britain dan AS.
Terdapat laporan bahawa UK menghentikan usahanya untuk mengurangkan tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas eksport keluli ke AS, meskipun sebelum ini dipersetujui untuk diturunkan kepada sifar.
Langkah itu mengecewakan sektor keluli Britain yang sudah bergelut dengan kesukaran kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami