Skip to main content

Dunia

Syarikat media milik Trump catat kerugian besar

The download screen for the Truth Social app is displayed on a laptop computer, March 20, 2024, in New York. (AP Photo/John Minchillo, File)
Trump Media & Technology Group (TMTG), syarikat di sebalik platform Truth Social memaklumkan kerugian sebanyak AS$238 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir Jun, lebih 10 kali ganda berbanding kerugian yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Advertisement

NEW YORK: Syarikat media milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencatatkan kerugian besar pada suku kedua tahun ini sambil mengumumkan perubahan strategi perniagaan dengan mengurangkan penglibatan dalam beberapa sektor baharu dan memberi tumpuan semula kepada platform media sosialnya.

Trump Media & Technology Group (TMTG), syarikat di sebalik platform Truth Social memaklumkan kerugian sebanyak AS$238 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir Jun, lebih 10 kali ganda berbanding kerugian yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu. 

Kerugian sesaham turut meningkat kepada 86 sen berbanding lapan sen setahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat itu, Kevin McGurn berkata, usaha pengembangan yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu ke dalam beberapa industri baharu termasuk kripto dan pertaruhan dalam talian akan dikurangkan secara ketara.

Menurut beliau, syarikat kini mahu kembali memberi tumpuan kepada misi asalnya sebagai platform media sosial untuk pengguna berkongsi pandangan dan pendapat.

“Kami membuat keputusan yang berdisiplin untuk mengubah hala tuju syarikat supaya lebih banyak masa dan sumber dapat ditumpukan kepada inisiatif yang paling penting.

“Kami akan menolak perkara yang tidak selari dengan keutamaan syarikat atau menukar haluan apabila perlu,” katanya dalam sidang panggilan bersama pelabur.

Susulan pengumuman keputusan kewangan itu, saham Trump Media susut sedikit dalam dagangan selepas waktu pasaran, selepas terlebih dahulu merosot lapan peratus dalam dagangan biasa.

Sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan syarikat, Trump Media memperkenalkan perkhidmatan baharu dikenali sebagai Truth API, yang menawarkan akses awal kepada data siaran pengguna popular di Truth Social kepada firma perdagangan Wall Street.

Perkhidmatan itu termasuk akses kepada kandungan daripada pengguna paling berpengaruh di platform berkenaan, termasuk Trump sendiri yang sering membuat pengumuman dasar utama AS menerusi Truth Social dan berpotensi mempengaruhi pasaran kewangan.

Bagaimanapun, langkah itu mengundang kritikan daripada kumpulan pemantau tadbir urus yang mendakwa Trump Media berpotensi menjadi saluran untuk Presiden AS memperoleh keuntungan daripada kedudukannya dalam kerajaan.

Beberapa pemimpin Parti Demokrat turut berikrar untuk menyiasat perkhidmatan berbayar itu sekiranya parti tersebut berjaya menguasai Kongres selepas pilihan raya pertengahan penggal.

McGurn bagaimanapun menolak kritikan berkenaan dan menyifatkan penjualan akses data masa nyata kepada pelanggan komersial sebagai amalan biasa dalam industri teknologi, media dan maklumat kewangan.

“Penyediaan data awam masa nyata menerusi API komersial merupakan amalan yang telah lama digunakan dalam industri. Perkhidmatan ini tidak berbeza,” katanya.

Walaupun menghentikan sebahagian besar usaha pengembangan, syarikat itu memaklumkan projek tenaga gabungan nuklear (nuclear fusion) akan diteruskan.

McGurn berkata, Trump Media masih merancang untuk memuktamadkan penggabungan yang diumumkan sebelum ini dengan syarikat tenaga TAE Technologies menjelang akhir tahun ini.

“Kami masih percaya perniagaan fusion merupakan pemacu paling penting kepada nilai jangka panjang syarikat,” katanya.

Sebahagian besar kerugian yang dicatatkan pada suku kedua berpunca daripada kejatuhan nilai pegangan aset kripto syarikat, termasuk Bitcoin dan token digital Cronos.

Walaupun begitu, hasil pendapatan syarikat meningkat kepada AS$1.7 bilion pada suku kedua, lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Trump Media turut memiliki lebih AS$400 juta dalam bentuk tunai dan pelaburan jangka pendek pada akhir suku berkenaan, selain aset berkaitan Bitcoin bernilai kira-kira AS$1.2 bilion.

Syarikat itu juga mempunyai hutang berjumlah AS$1 bilion yang hanya matang pada 2028, meskipun pemberi pinjaman mempunyai pilihan untuk menuntut pembayaran lebih awal bermula November ini. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement