DUNIA

Syarikat pemula Nepal guna dron bersihkan sampah di Gunung Everest

Bernama 26/06/2025 | 03:00 MYT
Sejak 2019, kerajaan Nepal melancarkan pelbagai inisiatif untuk membersihkan Gunung Everest. Menjelang 2024, usaha itu berjaya mengumpul 119 tan sisa pepejal, selain menemukan 14 mayat pendaki serta beberapa rangka manusia. - Foto DJI
ISTANBUL: Sebuah syarikat pemula (start-up) dari Nepal mula menggunakan teknologi dron bagi mengangkut sampah dari Gunung Everest, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut laman sesawang Airlift Technology, sebuah dron berjaya melaksanakan ujian itu pada ketinggian melebihi 6,000 meter (19,685 kaki) dengan membawa muatan seberat 15 kilogram (33 paun).
"Muatan maksimum yang diuji di Kem Pangkalan Everest ialah 32 kilogram (70.5 paun)," kata syarikat itu sambil memaklumkan bahawa penghantaran sampah dari Kem 1 ke Kem Asas turut diuji dan disahkan berjaya.
Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Luar Bandar Khumbu Pasang Lamhu, yang terletak di kawasan Gunung Everest, serta syarikat China, DJI -- pengeluar dron terbesar di dunia.
Syarikat China itu turut menyatakan bahawa setiap pendaki dianggarkan meninggalkan sekitar lapan kilogram (17.6 paun) sampah di Everest.
Perjanjian yang dimeterai antara Yayasan Kebajikan Cimex BYD (CBCF) dan Airlift Technology menyasarkan pengangkutan lebih 1,000 kilogram (2,204 paun) sampah dalam musim pendakian tahun ini.
Sejak 2019, kerajaan Nepal melancarkan pelbagai inisiatif tahunan untuk membersihkan gunung itu.
Menjelang 2024, usaha berterusan Nepal bagi membersihkan Gunung Everest dan puncak Himalaya lain berjaya mengumpul 119 tan sisa pepejal, selain menemukan 14 mayat pendaki serta beberapa rangka manusia.
Setakat tahun ini, dua pendaki dilaporkan maut ketika cuba menawan Gunung Everest.
-- BERNAMA
#Nepal #dron #sampah #Gunung Everest