[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Syarikat penerbangan mungkin saman Heathrow selepas gangguan bekalan elektrik - Laporan

Bernama 25/03/2025 | 07:37 MYT
Heathrow yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, mencatatkan 83.9 juta penumpang pada 2024, dengan pesawat berlepas atau mendarat setiap 45 saat. - Foto Reuters
MOSCOW: Sebuah organisasi mewakili lebih daripada 90 syarikat penerbangan yang menggunakan Lapangan Terbang Heathrow, London mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika tiada persetujuan dicapai mengenai pampasan kos akibat penutupan lapangan terbang itu pada Jumaat lalu, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Sky News.
Pada hari kejadian, bekalan elektrik terputus di Lapangan Terbang Heathrow akibat kebakaran di sebuah pencawang berhampiran, menyebabkan gangguan besar kepada operasi penerbangan dan lebih 1,300 penerbangan terjejas.
Walaupun operasi penerbangan disambung semula secara terhad pada Jumaat malam dan kembali beroperasi sepenuhnya pada Sabtu, ketua pengendali grid Tenaga UK, John Pettigrew menegaskan bahawa lapangan terbang itu tidak mengalami masalah kekurangan kapasiti tenaga, meskipun berlaku kerosakan pada satu daripada pencawang.
Beliau menjelaskan bahawa Heathrow masih mempunyai dua pencawang lain yang mampu beroperasi secara bebas.
Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan UK Heidi Alexander, berkata Heathrow memutuskan untuk menggantung penerbangan bagi membolehkan sistem dihidupkan semula selepas peralihan ke sumber tenaga lain.
Heathrow yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, mencatatkan 83.9 juta penumpang pada 2024, dengan pesawat berlepas atau mendarat setiap 45 saat.
-- BERNAMA
#Lapangan Terbang Heathrow London #bekalan elektrik terputus #saman #syarikat penerbangan