Syarikat penerbangan Rusia diminta tidak guna GPS

Sinar Harian
April 23, 2022 00:15 MYT
Dmitry Rogozin (kiri) mencadangkan untuk menggantikan GPS dengan sistem Satelite Pemanduan Global atau GLONASS Rusia. (Foto AP)
MOSCOW: Syarikat-syarikat penerbangan nasional Rusia diminta belajar menerbangkan pesawat tanpa bergantung kepada kemudahan navigasi berasaskan satelit iaitu Sistem Kedudukan Global Amerika (GPS), lapor akhbar Izvestia pada Jumaat.
Menurut surat daripada pengawal selia penerbangan, Rosaviatsia yang dilihat oleh akhbar itu, ia telah mengarahkan syarikat penerbangan nasional untuk bersiap sedia untuk terbang tanpa bantuan GPS.
Arahan itu dikeluarkan selepas satu laporan pada Mac lalu oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) yang memberi amaran tentang peningkatan kes kesesakan dan memalsukan isyarat sistem selepas 24 Februari lalu iaitu hari Rusia memulakan serangan tenteranya di Ukraine.
Ketua Perbadanan Angkasa Lepas Rusia atau Roscosmos, Dmitry Rogozin mencadangkan untuk menggantikan GPS dengan sistem Satelite Pemanduan Global atau GLONASS Rusia.
“Hanya ada satu penyelesaian. Memasang stesen GLONASS di semua lapangan terbang dan memasang penerima GLONASS pada semua pesawat yang dikendalikan di negara kita," menurutnya di aplikasi Telegram.
Pada bulan Mac lalu, Rogozin sudah berkata bahawa Amerika Syarikat mempertimbangkan kemungkinan memutuskan sambungan Rusia dengan GPS.
Namun, surat itu harus dianggap sebagai cadangan sahaja dan penggunaan GPS tidak dilarang, jelas akhbar itu. - Agensi
* Artikel asal di Sinar Harian
#syarikat penerbangan Rusia #GPS #Rosaviatsia #Dmitry Rogozin