DUNIA

Syria tandatangani projek Bank Dunia pertama dalam 40 tahun bagi memulihkan talian elektrik

Bernama 12/12/2025 | 10:14 MYT
Sektor tenaga elektrik Syria telah terjejas teruk akibat perang yang berlarutan selama lebih sedekad, dengan sebahagian besar grid nasional mengalami kerosakan akibat konflik. - Reuters
DAMSYIK: Syria menandatangani dokumen akhir bagi projek pemulihan grid kuasa bersama Bank Dunia, menandakan inisiatif pertama Bank Dunia di negara itu dalam tempoh hampir empat dekad, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).

Dalam catatan di Facebook pada Khamis, Menteri Kewangan Mohamed Yisr Barnieh berkata projek berkenaan dibiayai melalui geran dan bukannya pinjaman, dan akan menyokong usaha kerajaan - khususnya Kementerian Tenaga - untuk meningkatkan ketersediaan elektrik serta mengukuhkan ekonomi negara.

Pada Jun lalu, menteri itu mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Bank Dunia telah meluluskan geran berjumlah AS$146 juta bagi memulihkan talian penghantaran elektrik di Syria.

Dalam kenyataan terbarunya, Barnieh berkata beberapa projek tambahan turut sedang disediakan dengan kerjasama Bank Dunia merentasi pelbagai sektor. Beliau menyatakan bahawa projek itu juga akan dibiayai melalui geran dan dijangka diumumkan sepanjang tahun hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penyediaan projek itu, termasuk Kementerian Tenaga, Kementerian Luar dan Ekspatriat, serta Kementerian Kewangan, selain pasukan Bank Dunia, dan berharap kerjasama dapat diteruskan bagi memastikan pelaksanaan yang berjaya.

Sektor tenaga elektrik Syria telah terjejas teruk akibat perang yang berlarutan selama lebih sedekad, dengan sebahagian besar grid nasional mengalami kerosakan akibat konflik.

-- BERNAMA

#Bank Dunia #Syria #pemulihan grid kuasa #ekonomi #bekalan elektrik