DUNIA

AS tahan semua permohonan imigresen warga 19 negara

Bernama 03/12/2025 | 20:00 MYT
Arahan itu mengkehendaki pegawai agensi menahan semua Borang I-589 (Permohonan Suaka dan Penangguhan Pengusiran), tanpa mengira negara asal pemohon. - Gambar AP
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump menahan semua permohonan suaka yang belum diputuskan serta semua permohonan manfaat imigresen yang dikemukakan oleh warga 19 negara "berisiko tinggi", menurut memorandum dasar baharu yang dikeluarkan pada Selasa oleh Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika Syarikat (USCIS).

Arahan itu mengkehendaki pegawai agensi "menahan semua Borang I-589 (Permohonan Suaka dan Penangguhan Pengusiran), tanpa mengira negara asal pemohon, sementara semakan menyeluruh dijalankan", lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ia turut mengarahkan pegawai supaya "menahan semua permohonan manfaat yang belum diputuskan bagi warga negara yang tersenarai dalam Proklamasi Presiden 10949... sementara semakan menyeluruh dijalankan, tanpa mengira tarikh kemasukan."

Memorandum itu juga mengarahkan "semakan semula menyeluruh terhadap permohonan manfaat yang telah diluluskan" bagi warga 19 negara berkenaan yang memasuki Amerika Syarikat (AS) pada atau selepas 20 Jan 2021.

Mereka yang terlibat akan menjalani proses tapisan semula, termasuk " berpotensi untuk ditemu duga dan, jika perlu, temu duga ulangan, untuk menilai sepenuhnya semua ancaman keselamatan negara dan keselamatan awam."

Proklamasi yang dirujuk dalam memorandum itu mengenakan sekatan kemasukan terhadap warga Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman, serta sekatan separa terhadap warga Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.

Langkah itu diambil selepas Presiden Trump dan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem menyeru tindakan tegas imigresen susulan kejadian tembakan minggu lepas ke atas dua anggota Pengawal Negara di Washington, DC.

Suspek, seorang lelaki Afghanistan berusia 29 tahun yang diberi suaka pada April, memasuki AS pada 2021 selepas pengunduran AS yang tidak teratur dari Afghanistan dan pernah bekerja dengan beberapa agensi kerajaan AS termasuk CIA, menurut laporan media AS.

-- BERNAMA



#Amerika Syarikat #Donald Trump #Imigresen #pemohon suaka #USCIS