Skip to main content

Dunia

Taikun China Guo Wengui dipenjara 30 tahun di AS atas penipuan bernilai berbilion dolar

In this courtroom sketch, Guo Wengui, Chinese business tycoon, makes his sentencing statement at Manhattan federal court in New York, Monday, June 29, 2026. (Elizabeth Williams via AP)
Guo Wengui, menyampaikan kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan terhadapnya di Mahkamah Persekutuan Manhattan, New York, berdasarkan lakaran yang dihasilkan di dalam bilik mahkamah. - Foto AP
Advertisement

NEW YORK: Taikun hartanah China yang hidup dalam buangan, Guo Wengui, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) selepas didapati bersalah menjalankan skim penipuan kewangan bernilai berbilion dolar yang memperdaya ribuan penyokongnya di seluruh dunia.

Guo, yang juga dikenali sebagai Miles Guo dan Ho Wan Kwok, sebelum ini merupakan antara individu terkaya di China sebelum melarikan diri ke AS dan membina imej baharu sebagai pengkritik lantang Parti Komunis China.

Hakim Daerah AS, Analisa Torres, menjatuhkan hukuman tersebut di sebuah mahkamah di Manhattan yang dipenuhi penyokong Guo.

Menurut hakim, Guo telah mengambil kesempatan terhadap individu yang menyokong perjuangan demokrasi di China dengan menggunakan wang mereka bagi membiayai gaya hidup mewahnya.

“Guo memperdaya mereka yang ingin membawa demokrasi ke China,” kata Torres ketika menjatuhkan hukuman.

Beliau turut menyatakan bahawa Guo sehingga kini masih enggan menerima tanggungjawab atas tindakannya.

Pihak pendakwaan mendakwa Guo mengumpulkan lebih AS$1 bilion daripada para pengikutnya menerusi pelbagai skim pelaburan dan mata wang kripto antara 2018 hingga 2023.

Dana tersebut didakwa digunakan untuk membeli pelbagai aset mewah termasuk kediaman besar, kereta Lamborghini bernilai lebih AS$1 juta dan kapal layar bernilai puluhan juta dolar.

Pendakwa raya AS, Sean S. Buckley, berkata Guo telah menyalahgunakan kepercayaan ribuan penyokong untuk kepentingan peribadi.

“Hukuman hari ini menunjukkan bahawa kemasyhuran dan kekayaan tidak meletakkan seseorang di atas undang-undang,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan Guo melucut hak aset dan membayar pampasan berjumlah ratusan juta dolar kepada mangsa yang terjejas.

Sebelum meninggalkan China, Guo membina kekayaannya menerusi sektor pembangunan hartanah dan mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negara itu.

Namun, beliau melarikan diri ke luar negara selepas berdepan tuduhan rasuah daripada pihak berkuasa China.

Di AS, beliau meraih sokongan dalam kalangan komuniti China di luar negara melalui kempen antikomunis serta menjalin hubungan dengan beberapa tokoh konservatif Amerika, termasuk bekas penasihat Presiden Donald Trump, Steve Bannon.

Ketika diberi peluang bercakap di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan, Guo mempertahankan niatnya dan mendakwa beliau datang ke AS untuk menentang Parti Komunis China.

Beliau juga menafikan tuduhan bahawa wang yang dikumpulkan digunakan untuk tujuan peribadi, sebaliknya mendakwa ia digunakan bagi menyokong aktiviti politiknya.

Kes berprofil tinggi itu dianggap antara skandal penipuan terbesar yang melibatkan tokoh buangan China di AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
 

Must Watch Video

Advertisement