KUALA LUMPUR: Kerajaan Taiwan merancang untuk menjadikan negara itu sebagai destinasi mesra Muslim, kata Pengarah Bahagian Ekonomi, Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang.

Beliau berkata berdasarkan laporan Indeks Pelancongan Muslim Global 2023, Taiwan menduduki tangga ketiga dalam kalangan destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di belakang Singapura dan United Kingdom.

Taipei, ibu negara Taiwan, juga diiktiraf sebagai 'Destinasi Bandar Mesra Muslim Paling Sesuai Tahun Ini', katanya.

"Saya berpandangan ini kerana Taiwan ialah sebuah negara demokrasi dan menghormati semua agama dan kaum. Kami menikmati suasana demokrasi di Taiwan.

"Kami juga mengalu-alukan semua tetamu asing ke Taiwan untuk menikmati persekitaran dan suasana ini di Taiwan," katanya ketika berucap pada Taiwan Mice (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) Talk di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Paul Paw berkata Tawai melaksanakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menambah baik persekitaran pelancongan mesra Muslim, yang ditunjukkan menerusi peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara itu setiap tahun.

"Setakat yang saya faham, Taiwan menyasar untuk mencapai enam juta pelancong menjelang akhir 2023. Saya percaya matlamat ini boleh dicapai," katanya.

Pengarah Konvensyen dan Pameran, Malaysia Convention Exhibition Bureau (MyCEB), Noor Azlan Abu Bakar, yang pernah ditempatkan di Taiwan untuk mempromosikan pelancongan Malaysia, berkata usaha untuk menambah baik persekitaran mesra Muslim pulau itu secara berterusan adalah ketara. 

Beliau berkata acara semalam akan memudahkan interaksi yang meningkat dan menggalakkan kerjasama antara Malaysia dan Taiwan.

Taiwan Mice Talk adalah sebahagian daripada program Meet Taiwan dan kali ini merupakan edisi tahun keenam sejak diadakah di Kuala Lumpur.

Program bertemakan Open Arms tahun ini dirancang untuk melibatkan peserta industri Malaysia melalui pameran yang meriah dan interaktif.

Sebanyak 11 syarikat Taiwan telah dipilih untuk mengambil bahagian, termasuk lima agensi pelancongan, tiga penganjur persidangan profesional, dua hotel, dan sebuah syarikat dewan pameran.

-- BERNAMA