[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
DUNIA

Taiwan tolak model 'satu negara, dua sistem' seperti dicadangkan China - Presiden Lai

Agensi 31/10/2025 | 03:50 MYT
Presiden Lai menegaskan, Republik China – nama rasmi Taiwan – dan Republik Rakyat China adalah dua entiti yang tidak saling tertakluk antara satu sama lain. - Gambar Reuters
HUKOU, TAIWAN: Presiden Taiwan, Lai Ching-te menegaskan, negaranya tidak akan menerima model "satu negara, dua sistem" yang dicadangkan oleh China, sambil menekankan komitmen untuk mempertahankan kebebasan, demokrasi dan kedaulatan negara itu.

Kenyataan tegas itu dibuat ketika Beijing sekali lagi menggesa Taiwan untuk menerima sistem autonomi yang digunakan di Hong Kong dan Macau.

Namun, China turut memberi amaran bahawa mereka "sama sekali tidak akan menolak penggunaan kekerasan" bagi mencapai matlamat penyatuan.

Berucap di hadapan anggota tentera semasa majlis penugasan batalion pertama kereta kebal M1A2T Abrams di Pangkalan Tentera Hukou, utara Taiwan, Presiden Lai berkata, hanya kekuatan mampu menjamin keamanan sejati.

“Menerima tuntutan penceroboh dan mengorbankan kedaulatan tidak akan membawa kepada keamanan. Kita mesti mempertahankan status quo dengan maruah dan ketegasan, serta menolak sebarang bentuk pencerobohan dan pemaksaan penyatuan,” katanya.

“Kita menolak ‘satu negara, dua sistem’ kerana kita akan terus mempertahankan sistem perlembagaan yang bebas dan demokratik,” tambah beliau.

Presiden Lai turut menegaskan, Republik China – nama rasmi Taiwan – dan Republik Rakyat China adalah dua entiti yang tidak saling tertakluk antara satu sama lain.

“Kedaulatan Taiwan tidak boleh dicabuli atau dihapuskan. Masa depan Taiwan hanya boleh ditentukan oleh rakyatnya sendiri,” tegas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan, usaha rakyat Taiwan untuk mempertahankan kedaulatan dan cara hidup demokratik tidak seharusnya dianggap sebagai satu bentuk provokasi.

“Pelaburan dalam pertahanan negara adalah pelaburan untuk keamanan,” katanya sambil mengulangi komitmen untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Dalam majlis tersebut, Taiwan turut memperkenalkan kereta kebal M1A2T Abrams buatan General Dynamics Land Systems dari Amerika Syarikat.

Setakat ini, Taiwan telah menerima 80 daripada 108 unit yang ditempah, menjadikan AS sebagai penyokong antarabangsa dan pembekal senjata utama pulau itu, meskipun tiada hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua pihak.

Kereta kebal M1A2T itu dilengkapi keupayaan menembak peluru anti-kereta kebal berkuasa tinggi serta peluru kinetik seperti peluru penembus perisai. - Agensi





#Taiwan #satu negara dua sistem #sistem autonomi #Presiden Taiwan #Lai Ching-te