Skip to main content

Dunia

Taiwan tutup operasi, ratusan penerbangan dibatalkan susulan Taufan Champi

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Champi yang sebelum ini mencapai status taufan super masih membawa tiupan angin sehingga kira-kira 191 kilometer sejam berhampiran pusat ribut. -CWA
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Champi yang sebelum ini mencapai status taufan super masih membawa tiupan angin sehingga kira-kira 191 kilometer sejam berhampiran pusat ribut. -CWA

Advertisement

TAIPEI: Hampir seluruh Taiwan menghentikan operasi pada Jumaat susulan Taufan Champi yang diramal membawa angin kencang dan hujan lebat, meskipun ribut itu semakin lemah dan dijangka tidak melanda daratan pulau berkenaan secara langsung.

Kementerian Pengangkutan Taiwan memaklumkan kesemua 262 penerbangan domestik dibatalkan pada Jumaat, selain lebih 350 penerbangan antarabangsa.

Sekolah, pejabat dan premis perniagaan turut ditutup di seluruh pulau itu, kecuali Kinmen.

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Champi yang sebelum ini mencapai status taufan super masih membawa tiupan angin sehingga kira-kira 191 kilometer sejam berhampiran pusat ribut.

Kawasan liputannya pula dianggarkan beradius 320 kilometer, cukup luas untuk meliputi sebahagian besar Taiwan.

Ribut itu dilaporkan berada kira-kira 330 kilometer di timur hujung selatan Taiwan, dengan laluan ramalan menunjukkan ia akan bergerak melepasi timur laut pulau berkenaan sebelum membelok ke utara menuju pesisir China dan seterusnya ke selatan Jepun.

Pakar cuaca menjangkakan kesannya boleh berlarutan hampir dua hari.

Seorang pelawat dari Hungary, Mate Erdosi, 35, berkata keadaan cuaca itu turut menjejaskan urusan perniagaannya apabila mesyuarat yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka terpaksa beralih ke dalam talian.

“Saya datang atas urusan perniagaan dan sudah tentu keadaan ini memberi kesan. Hari ini, kerja dari rumah diumumkan.

"Selepas beberapa hari bekerjasama dengan rakan sekerja, kami kini terpaksa mengadakan mesyuarat secara dalam talian walaupun berada hanya beberapa ratus meter antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun, penduduk Taipei, Liao Wen-Li, 73, berpandangan taufan itu tidak begitu berbahaya di kawasan berkenaan, yang menurutnya kurang terjejas oleh angin kencang kerana kedudukan geografinya.

Taiwan lazimnya mempunyai persediaan rapi menghadapi taufan bagi mengurangkan risiko korban.

Walaupun kejadian seumpama itu lebih kerap berlaku pada musim panas, taufan masih boleh melanda pada musim luruh dengan membawa angin kencang serta hujan lebat.

Must Watch Video

Advertisement