DUNIA

Takaichi anggap Korea Selatan "negara jiran yang penting" buat Jepun

Bernama 22/10/2025 | 01:40 MYT
Takaichi menjawab soalan wartawan pada sidang media di Tokyo, malam tadi sebaik sahaja dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Jepun. - Gambar Reuters
TOKYO: Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi pada Selasa berusaha meredakan kebimbangan bahawa hubungan dengan Korea Selatan mungkin terjejas di bawah kepimpinannya, sambil menyatakan minatnya terhadap makanan dan budaya negara jiran itu, lapor Kyodo News.

"Saya amat menyukai rumpai laut Korea Selatan dan turut menggunakan produk kosmetik dari sana. Saya juga menonton drama Korea," kata Takaichi pada sidang media lewat malam selepas beliau dipilih sebagai Perdana Menteri awal hari itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan dua hala di tengah kebimbangan di Korea Selatan bahawa pelantikannya sebagai perdana menteri mungkin menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Takaichi sebelum ini kerap mengunjungi Kuil Yasukuni di Tokyo, yang menjadi punca ketegangan diplomatik dengan Korea Selatan dan China kerana kaitannya dengan sejarah perang Jepun.

Pada sidang media itu, Takaichi turut menyifatkan Korea Selatan sebagai "negara jiran yang penting" dan menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Presiden Lee Jae Myung.

Korea Selatan akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) hujung bulan ini.

-- BERNAMA




#PM Jepun #Sanae Takaichi #Korea Selatan jiran penting #PM baharu Jepun