Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Takaichi, Trump sepakat perkukuh hubungan Jepun-AS dalam pertemuan pertama

Bernama 28/10/2025 | 06:15 MYT
Pada permulaan pertemuan itu, Takaichi "era keemasan baharu" dalam pakatan Jepun-AS bersama Trump, yang disifatkannya sebagai "pakatan terhebat di dunia." - Foto Reuters
TOKYO: Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju memperkukuh lagi hubungan dua hala Jepun-AS serta menjalin hubungan peribadi yang lebih rapat dalam pertemuan pertama mereka di Tokyo pada Selasa, lapor Kyodo News.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Presiden AS Donald Trump bersetuju memperkukuh hubungan dua hala serta menjalin hubungan peribadi yang lebih rapat dalam pertemuan pertama mereka di Tokyo.
  • Kedua-dua pemimpin tekankan kepentingan keselamatan serantau, termasuk meningkatkan keupayaan pakatan Jepun-AS dalam menghadapi cabaran dari China dan Korea Utara.
  • Lawatan Trump ke Asia termasuk Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, dengan agenda bertemu pemimpin serantau serta melawat kapal pengangkut pesawat George Washington di Yokosuka.


Dalam aspek keselamatan, kedua-dua pemimpin dijangka menegaskan kepentingan memperkukuh keupayaan pencegahan dan tindak balas pakatan dua hala di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat daripada China dan Korea Utara, sementara Washington terus menggesa sekutunya meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Pada permulaan pertemuan itu, Takaichi "era keemasan baharu" dalam pakatan Jepun-AS bersama Trump, yang disifatkannya sebagai "pakatan terhebat di dunia."

Takaichi turut memuji peranan Trump dalam mempromosikan keamanan di Timur Tengah serta usaha menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.

Trump pula menyatakan keyakinan bahawa beliau dan Takaichi akan mempunyai "hubungan yang luar biasa," sambil menambah: "Saya sentiasa mempunyai kasih yang mendalam terhadap Jepun dan rasa hormat yang tinggi terhadap Jepun, dan saya yakin hubungan ini akan menjadi lebih kukuh daripada sebelumnya."

"Saya ingin anda tahu, pada bila-bila masa anda mempunyai persoalan, keraguan atau memerlukan sebarang bantuan, kami akan sentiasa ada untuk Jepun," kata Trump.

Selepas perbincangan, Takaichi dan Trump dijadual menaiki helikopter Marine One ke pangkalan Tentera Laut AS di Yokosuka, barat daya Tokyo, untuk melawat kapal pengangkut pesawat George Washington, menurut sumber Rumah Putih.

Trump kali terakhir melawat Jepun pada 2019 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka.

Beliau kini dalam siri lawatan Asia selepas menghadiri mesyuarat berkaitan ASEAN di Malaysia sebelum tiba di Jepun.

Trump dijangka meneruskan lawatan ke Korea Selatan bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping pada Khamis.

-- BERNAMA



#Donald Trump #Amerika Syarikat #Jepun #Sanae Takaichi #tarif