KUNMING: Hujan lebat mencetuskan banjir teruk di Bandar Mohan di wilayah Yunnan, barat daya China, dengan sebuah takungan berisiko pecah, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Xinhua.
Dari petang Jumaat hingga pagi Sabtu, hujan lebat melanda kaunti Mengla di Xishuangbanna, dengan Bandar Mohan di bawah pentadbiran Mengla merekodkan taburan hujan maksimum 187.5 milimeter dalam tempoh 24 jam, sekali gus menyebabkan banjir di kawasan itu.
Takungan Yantang di Kampung Molong, Mohan telah melimpah dan berdepan risiko pecah, menyebabkan pihak berkuasa tempatan memindahkan lebih 2,200 penduduk setakat ini, dan merancang pemindahan selanjutnya.
Lebih 1,500 anggota penyelamat daripada tentera, pasukan polis bersenjata, jabatan bomba, keselamatan awam dan perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan.
Wilayah Yunnan turut menghantar 20,500 barangan bantuan, termasuk khemah, pakaian, selimut dan katil lipat bagi membantu penduduk yang terjejas.
-- BERNAMA-XINHUA