Taliban wajibkan pelajar perempuan universiti swasta pakai niqab

Astro Awani
September 6, 2021 00:13 MYT
Wanita berkumpul untuk menuntut hak mereka di bawah pemerintahan Taliban di Kabul, Afghanistan, 4 September 2021. (Foto AP)
TALIBAN mewajibkan pelajar perempuan yang mahu menyambung pengajian di universiti swasta di Afghanistan memakai jubah dan niqab.
Selain itu, pelajar lelaki dan perempuan juga disyaratkan supaya diasingkan dalam kelas berbeza atau sekurang-kurangnya dipisahkan dengan tirai.
Dalam dokumen panjang lebar yang dikeluarkan pihak berkuasa pendidikan Taliban, mereka turut mengarahkan pelajar perempuan hanya diajar oleh pensyarah wanita.
Namun jika tiada pensyarah wanita, lelaki berusia dengan perwatakan yang baik boleh dipertimbangkan sebagai pengganti.
Peraturan sama terpakai untuk kolej swasta dan universiti yang banyak ditubuhkan sejak pentadbiran Taliban berakhir sebelum ini pada 2001 susulan serangan tentera Amerika Syarikat.
Taliban di Afghan | Taliban wajibkan wanita pakai jubah, niqab
Sepanjang tempoh terbabit, gadis dan wanita sukar mendapatkan pendidikan berikutan peraturan kelas perlu dipisahkan antara wanita dan lelaki selain perempuan harus ditemani saudara lelaki setiap kali keluar rumah.
Tiada arahan untuk wanita memakai burqa dalam peraturan baharu yang dikeluarkan pada Ahad, sebaliknya hanya niqab yang menutupi sebahagian besar wajah dengan hanya mendedahkan mata.
Arahan baharu taliban itu dikeluarkan ketika universiti swasta dijangka dibuka semula pada Isnin pasca pengunduran penuh tentera Amerika Syarikat dari negara itu pada 31 Ogos lepas.
Taliban menguasai semula pentadbiran apabila dengan mudah menawan Kabul 15 Ogos lepas, sekali gus mencetuskan konflik baharu di negara Asia Selatan itu.
Pelbagai pihak lain yang pula turut skeptikal jika Taliban era ini adalah mereka yang sudah berubah atau masih kekal dengan ideologi sama termasuk tidak menghormati hak asasi wanita.
#Pelajar wanita #universiti swasta #Taliban #Afghanistan #niqab