DUNIA

Tanah jerlus Singapura: Pihak berkuasa sahkan bangunan berhampiran tidak terjejas

Bernama 27/07/2025 | 04:15 MYT
Dalam kejadian itu, seorang wanita diselamatkan dan dihantar ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam pada Sabtu. - Sumber media sosial
SINGAPURA: Penguasa Bangunan dan Binaan Singapura (BCA) mengesahkan bahawa bangunan berhampiran lokasi lubang benam di Jalan Tanjong Katong tidak terjejas akibat kejadian itu.


Ringkasan AI
  • Bangunan berhampiran lubang benam disahkan selamat: BCA mengesahkan bahawa struktur bangunan seperti One Amber dan rumah teres di Jalan Tanjong Katong tidak terjejas dan kerja penstabilan telah dimulakan.
  • Pihak berkuasa giat jalankan pemantauan dan siasatan: BCA, LTA dan PUB sedang memantau pembaikan secara rapi, manakala Menteri Grace Fu mengarahkan siasatan menyeluruh.
  • Seorang wanita terlibat dan diselamatkan: Seorang wanita cedera ringan selepas keretanya terjatuh ke dalam lubang benam; pekerja projek sekitar membantu dalam usaha menyelamat.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan, BCA memaklumkan bahawa kerja-kerja penstabilan dimulakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan bangunan sekitar serta tapak kerja agensi air negara, PUB, yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.

"Jurutera BCA telah menjalankan pemeriksaan awal ke atas kondominium One Amber serta rumah-rumah teres di seberang jalan.

"Penilaian mendapati struktur bangunan-bangunan berkenaan tidak terjejas," menurut kenyataan di laman Facebook BCA malam Sabtu.

Kenyataan itu turut memaklumkan BCA bersama-sama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan PUB sedang memantau rapi kerja-kerja pembaikan serta tahap keselamatan keseluruhan di kawasan itu.

Menteri Kemampanan dan Persekitaran Grace Fu turut memaklumkan bahawa beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyiasat punca kejadian.

"Saya memahami kegusaran orang ramai, terutamanya penduduk dan para pekerja di kawasan sekitar berhubung tahap keselamatan bangunan dan jalan selepas insiden ini.

"Saya telah meminta PUB untuk bekerjasama dengan agensi lain termasuk BCA dan LTA bagi menyiasat punca kejadian secara menyeluruh serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam kejadian itu, seorang wanita diselamatkan dan dihantar ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam yang terbentuk sekitar 5 petang Sabtu.

Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja dari tapak projek berhampiran membantu wanita berkenaan keluar dari kereta serta menghalang kenderaan lain daripada menghampiri kawasan terbabit.

-- BERNAMA




#lubang benam #Singapura #tanah jerlus #Penguasa Bangunan dan Binaan Singapura