DUNIA

Tanah jerlus Singapura: PUB arah henti sementara kerja pembinaan

Bernama 28/07/2025 | 04:15 MYT
Dalam insiden itu, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam itu. - Sumber media sosial
SINGAPURA: Agensi Air Nasional Singapura (PUB) akan melaksanakan tempoh henti sementara pembinaan bagi menilai semula dan memastikan keselamatan kerja-kerja pembinaan pembetungan di seluruh negara selepas kejadian lubang benam berhampiran satu daripada tapak projeknya pada Sabtu lepas.


Ringkasan AI
  • Tempoh henti pembinaan dimulakan oleh PUB Singapura untuk menilai semula keselamatan projek pembetungan selepas kejadian lubang benam di Tanjong Katong Road South.
  • Kegagalan struktur aci pembinaan menyebabkan terbentuknya lubang benam; siasatan dan kerja pemulihan telah dimulakan termasuk penggunaan tanah stabil cecair.
  • Seorang wanita cedera ringan selepas keretanya jatuh ke dalam lubang tersebut; struktur berhampiran disahkan selamat oleh jurutera BCA.


Menurut PUB, pemeriksaan mendapati caisson ring pada sebuah aci yang sedang dibina di tapak projek itu gagal berfungsi sekitar 5.50 petang pada 26 Julai.

"Pada masa yang sama, lubang benam terbentuk di jalan bersebelahan.

"Punca kegagalan masih belum dikenal pasti. Lubang terbabit telah diisi "liquefied stabilised soil" bagi menstabilkan kawasan, sebelum kerja-kerja pemulihan dilaksanakan," menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PUB pada malam Ahad.

Agensi itu memaklumkan bahawa lokasi kejadian terletak berhampiran tapak pembinaan aktif milik PUB di sepanjang Tanjong Katong Road South, yang sedang menjalani kerja-kerja pemasangan pembetung.

Projek itu melibatkan pembinaan aci sedalam 16 meter bagi menyambungkan tiga saluran pembetung sedia ada. Aci itu ditimbus semula bagi menstabilkan tanah di sekelilingnya.

"Imbasan radar dan analisis lanjut masih dijalankan bagi menilai keadaan di kawasan sekitar," menurut agesi itu.

PUB turut menegaskan bahawa jurutera daripada Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) telah menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan bahawa struktur berhampiran termasuk kediaman tidak terjejas akibat kejadian berkenaan.

Dalam insiden itu, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam itu.

Mangsa sempat keluar dari kenderaannya sebelum diselamatkan para pekerja di lokasi kejadian.

-- BERNAMA



#Agensi Air Nasional Singapura #tanah jerlus Singapura #arahan henti kerja #keselamatan pembetungan