Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Tanah runtuh di Vietnam ragut 6 nyawa penumpang bas

Astro Awani 17/11/2025 | 02:20 MYT
Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan dua mangsa yang masih terperangkap dalam bas yang tertimbus. - Foto X/VNS
HANOI: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh apabila sebuah bas yang membawa 32 penumpang tertimbus akibat tanah runtuh di kawasan pergunungan di tengah Vietnam pada malam Ahad, menurut laporan media tempatan.


Ringkasan AI
  • Bas yang membawa 32 penumpang tertimbus akibat tanah runtuh di Vietnam, mengakibatkan sekurang-kurangnya enam kematian dan 19 cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan serius.
  • Insiden tragis berlaku di Lebuhraya Khanh Le yang menghubungkan Da Lat dan Nha Trang, disebabkan hujan lebat yang berterusan, memicu runtuhan tanah dan batu.
  • Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan dua mangsa yang masih terperangkap dalam bas yang tertimbus, sementara risiko bencana alam semakin meningkat di kawasan pergunungan Vietnam ketika musim hujan.


Insiden itu berlaku di Lebuhraya Khanh Le, laluan yang menghubungkan bandar peranginan Da Lat dan Nha Trang.

Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu dipercayai mencetuskan runtuhan tanah dan batu dari lereng bukit ketika bas berkenaan dalam perjalanan menuruni cerun.

Menurut laporan akhbar VnExpress, 19 penumpang turut cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan di kepala, tulang belakang, dan anggota badan.

Dua lagi mangsa masih terperangkap dalam bas yang sebahagiannya tertimbus dalam lumpur dan runtuhan batu besar.

Pasukan penyelamat tempatan segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

Gambar dari lokasi menunjukkan jalan raya tertutup sepenuhnya oleh tanah dan batu, menyukarkan operasi menyelamat.

Dalam insiden berkaitan, tiga individu di Danang dilaporkan hilang dalam satu lagi kejadian tanah runtuh pada Jumaat lalu, menandakan risiko bencana alam yang semakin meningkat di kawasan pergunungan Vietnam ketika musim hujan.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai agar mengelakkan perjalanan ke kawasan berisiko tinggi dan memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.






#tanah runtuh #hujan lebat #penumpang bas #bencana