KAHERAH: Puetra Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman memanggil para pemimpin dari Qatar, Kuwait, Bahrain, Iraq, dan Sudan untuk membincangkan pelaksanaan sebuah projek penanaman pokok besar-besaran.

Reuters yang memetik laporan agensi berita SPA pada Isnin melaporkan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengimbangi kelestarian alam sekitar.

"Inisiatif Hijau Asia Barat dengan usahasama negara-negara lain di rantau ini, menyasarkan untuk menanam 50 bilion pokok dalam sebuah program perhutanan semula yang terbesar di dunia," lapor SPA.

Putera Mahkota itu mendedahkan tentang kempen luar biasa itu pada Sabtu yang menyaksikan Arab Saudi akan mula menanam 10 bilion pokok dalam dekad-dekad seterusnya selain bekerjasama dengan negara Arab lain bagi baki 40 bilion pokok lagi.

Semua ini adalah untuk menangani masalah pengeluaran karbon, memerangi pencemaran dan juga kemerosotan tanah.

SPA menambah, inisiatif itu juga adalah untuk meningkatkan keberkesanan pengeluaran minyak dan menyumbang kepada eksplorasi tenaga yang boleh diperbaharui, sebagai tambahan kepada pelbagai usaha memulihara persekitaran laut dan pesisiran pantai, dan melonjakkan peratusan sumber alam.

Inisiatif Hijau Saudi itu adalah sebahagian daripada Wawasan 2030 yang dicetuskan Mohammed dalam impiannya mengurangkan kebergantungan ke atas simber minyak seterusnya memperbaiki kualiti kehidupan.