AS tangguh penggunaan vaksin J&J susulan kes pembekuan darah

Astro Awani
April 13, 2021 21:44 MYT
Sehingga kini lebih 6.8 juta dos vaksin J&J diberikan di Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
AMERIKA SYARIKAT sarankan supaya penggunaan vaksin dos tunggal keluaran Johnson and Johnson ditangguhkan.
Ini bagi memberi ruang siasatan berkaitan laporan wujudnya masalah pembekuan darah kesan daripada penggunaan vaksin tersebut.
Menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) dan Pentadbiran Perubatan dan Makanan (FDA), siasatan sedang dijalankan bagi menyiasat laporan berlakunya pembekuan darah antara enam hingga 13 hari selepas diberi suntikan.
Pembekuan darah berlaku pada salur ke otak dan turut menyebabkan platlet darah rendah.
Langkah tersebut diambil selepas enam kes pembekuan darah dilaporkan melibatkan wanita berusia daripada 18 hingga 48 tahun.
Daripada jumlah itu, seorang pesakit dilaporkan maut, dengan kes lain masih dalam siasatan.
Sehingga kini lebih 6.8 juta dos vaksin J&J diberikan di Amerika Syarikat.
Sebahagian besar penerima bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.
Sementara itu, J&J memaklumkan ia maklum dengan laporan pembekuan darah, namun tiada sebarang kaitan dengan vaksin keluarannya dikesan sehingga kini.
#COVID-19 #vaksin #johnson and johnson #Amerika Syarikat #pembekuan darah