Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Tangisan gembira ibu Palestin, anak ditawan Israel akhirnya bebas

Agensi 13/10/2025 | 09:21 MYT
Umm Youssef Al-Daour ibu kepada salah seorang tahanan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila mengetahui anaknya masih hidup. - Gambar/ Tangkap layar Reuters
KHAN YOUNIS: Para ibu tahanan warga Palestin bersyukur akhirnya anak-anak mereka yang ditahan oleh rejim Zionis Israel akan dibebaskan pada hari bersejarah ini.


Ringkasan AI
  • Para ibu tahanan Palestin meluahkan rasa syukur dan sebak apabila anak-anak mereka yang ditahan oleh rejim Israel akhirnya dibebaskan, dengan harapan agar tahanan lain turut dibebaskan.
  • Proses pembebasan berlangsung di Khan Younis dengan kawalan ketat oleh pejuang Hamas, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Sharm el-Sheikh, Mesir.
  • Presiden AS Donald Trump tiba di Israel dan dijadualkan menyertai sidang kemuncak bersama lebih 20 pemimpin dunia di Mesir, ketika Gaza terus terjejas akibat serangan Israel yang telah meragut lebih 67,000 nyawa sejak 7 Oktober.


Rasa gembira dan sebak jelas terpancar di wajah mereka ketika menanti kepulangan anak-anak yang lama ditahan, lapor Reuters.

Umm Youssef Al-Daour ibu kepada salah seorang tahanan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila mengetahui anaknya masih hidup, malah dia juga berdoa agar tahanan lain dapat dibebaskan.

“Ini perasaan seorang ibu, apa lagi yang saya boleh rasakan? Saya amat gembira, saya hanya ingin melihat dan memeluknya, setelah mengetahui dia selamat.

“Terima kasih Tuhan atas rahmat-Nya...dan bagi mereka yang masih ditahan, semoga Tuhan membebaskan mereka,” katanya.

Seorang lagi wanita, Umm Ahmed Abu Hussein ibu kepada tahanan menganggap hari pembebasan merupakan sebuah rahmat untuknya walaupun usaha itu digerakkan oleh pemimpin negara barat dan Arab.

“Perang ini berlaku kerana para tahanan, dan Tuhan telah memakbulkan doa kami walaupun kami mengharungi semua kesakitan sambil berharap," katanya.

Mereka ditemui oleh media di lokasi pembebasan para tahanan yang dikawal ketat oleh pasukan pejuang Hamas di Khan Younis.

Persiapan sedang dijalankan di Khan Younis pada Isnin (13 Oktober) untuk menyambut kepulangan tahanan Palestin, ketika Hamas menyerahkan beberapa tebusan Israel yang terakhir, satu langkah penting untuk menamatkan dua tahun konflik yang telah memusnahkan Gaza.

Beberapa lelaki bersenjata, berkopiah dan berpakaian serba hitam dari pasukan Hamas, tiba di Hospital Nasser di mana pentas dan kerusi telah disediakan untuk menyambut tahanan tersebut.

Pembebasan ini adalah salah satu bahagian terpenting dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu di Sharm el-Sheikh, Mesir di mana Trump dan lebih 20 pemimpin dunia lain dijadualkan bertemu kemudian pada hari yang sama.

Trump mendarat di Israel tidak lama selepas pengumuman pembebasan kumpulan pertama tebusan. Beliau akan berucap di parlimen sebelum bertolak ke Mesir.

Sejak 7 Oktober, serangan udara dan serangan darat Israel telah memusnahkan Gaza yang telah mengorbankan lebih 67,000 rakyat Palestin.


#Gaza #Hamas #Israel #gencatan senjata