[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
DUNIA

Tapak nuklear Iran diserang: IAEA akan adakan mesyuarat tergempar Isnin

Bernama 22/06/2025 | 10:35 MYT
GROSSI: Memandangkan situasi mendesak di Iran, saya akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor IAEA esok. - Gambar fail
GENEVA: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Ahad mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor IAEA pada Isnin susulan serangan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Memandangkan situasi mendesak di Iran, saya akan mengadakan mesyuarat tergempar Lembaga Gabenor @IAEAorg esok," kata Rafael Mariano Grossi dalam catatan di X.
Langkah itu diambil selepas laporan mengenai serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear di Iran, termasuk Loji Pengayaan Bahan Api Fordo.
Dalam kenyataan berasingan di X, IAEA berkata: "Susulan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran - termasuk Fordo - IAEA mengesahkan bahawa tiada peningkatan tahap radiasi di luar tapak yang dilaporkan setakat ini."
Agensi itu memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan "penilaian lanjut mengenai situasi di Iran apabila lebih banyak maklumat diperoleh."
Keadaan di rantau itu semakin meruncing selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Ahad bahawa pasukan tenteranya telah melaksanakan serangan udara yang "sangat berjaya" ke atas tiga tapak nuklear Iran, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih meluas di rantau itu.
Berikutan serangan AS itu, Iran menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengutuk pencerobohan AS dan membawa pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa ke muka pengadilan.
Permusuhan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran berkata serangan Israel telah mengorbankan 430 orang dan mencederakan lebih 3,500 yang lain.
-- BERNAMA
#Konflik Iran-Israel #tapak nuklear #Amerika Syarikat #IAEA