DUNIA

Tarif 25 peratus, Trump 'acah', tidak berani buat - Penganalisis

Astro Awani 13/01/2026 | 23:50 MYT
Ketika penggal pertama Trump sebagai Presiden, Iran turut dijadikan topik hangat dengan sekatan ekonomi lebih ketat. - Foto fail/REUTERS
PENGANALISIS sangsi dengan keberanian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk laksanakan tarif 25 peratus terhadap negara yang berdagang dengan Iran.

Malah pengumuman itu disifatkan hanya gertakan terhadap Beijing yang merupakan sekutu ekonomi kuat Iran.

“Trump sekali lagi sedang menggertak, dan China pasti akan mencabar gertakan itu. Saya yakin Trump tidak mempunyai keberanian untuk mengenakan tambahan tarif 25 peratus ke atas China,” kata Dekan Institut Pengajian Antarabangsa di Universiti Fudan Profesor Wu Xinbo, kepada Reuters.

“Jika Donald Trump benar-benar melaksanakan tarif 25 peratus ke atas produk dari China, China pasti akan bertindak balas,” tambah Wu, sambil menegaskan bahawa lawatan yang dirancang oleh Presiden AS ke China pada bulan April juga berisiko dibatalkan.

Ini bukan kali pertama Iran jadi topik hangat dalam konteks hubungan AS-China.

Ketika penggal pertama Trump sebagai Presiden, Iran turut dijadikan topik hangat dengan sekatan ekonomi lebih ketat.

Kini Iran sekali lagi dijadikan 'umpan' dalam ketegangan hubungan AS-China dan jika tarif 25 peratus berjalan, penghantaran barangan dari negara tembok besar itu akan dikenakan levi 70 peratus, jauh lebih tinggi berbanding 57.7 peratus yang dipersetujui dua pemimpin pada Oktober.






#Donald Trump #tarif #Iran #Wu Xinbo