[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Tarif AS bantutkan peluang pertumbuhan 3 peratus Thailand

Agensi 30/04/2025 | 08:55 MYT
Beberapa syarikat kaji selidik menganggarkan pertumbuhan KDNK Thailand pada angka 0.5 atau 1 peratus tahun ini. - Gambar hiasan/Reuters
BANGKOK: Sasaran tiga peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand mungkin tidak dapat dicapai tahun ini akibat tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Portal berita Bangkok Post, memetik kata Setiausaha Kewangan, Lavaron Sangsnit, menyatakan bahawa konflik dagang antara China dan AS secara langsung mempengaruhi ekonomi global, termasuk Negara Gajah Putih itu.
Jelasnya, Kementerian Kewangan meramalkan sasaran tiga peratus pertumbuhan KDNK tahun ini sukar direalisasi, namun beriltizam untuk melakukan yang terbaik demi membawa kepada nilai terhampir dengan sasaran itu.
Ketika beberapa syarikat kaji selidik menganggarkan pertumbuhan Thailand pada angka 0.5 atau 1 peratus tahun ini, Lavaron menjelaskan masih terlalu awal untuk menilai impaknya secara menyeluruh.
Katanya, masih terdapat hal-hal yang belum jelas berkaitan hasil rundingan perdagangan antara Thailand dan AS berhubung kadar tarif import.
Lavaron berkata, sementara pihak AS menyetuh soal defisit perdagangan sebagai pemicu tarif, Thailand tidak sepenuhnya menumpukan kepada aspek ekonomi mahupun perdagangan dalam rundingan tersebut.
Jelasnya, pihak AS turut menbgambil kira sudut lain seperti dasar luar dan isu keselamatan negara.
Oleh yang demikian, pelbagai kementerian perlu terlibat dalam rundingan berkenaan, dengan Menteri Kewangan terus mengetuai pasukan rundingan.
Dari aspek dasar kewangan, Lavaron berkata, Jawatankuasa Dasar Kewangan Bank of Thailand (MPC) telah menerima data baharu yang dapat membantu membimbing kadar faedah untuk berdepan situasi turun naik ekonomi.
MPC itu dijangka dapat merendahkan kadar faedah untuk menyokong ekonomi, sama seperti langkah yang sedang dipertimbang oleh banyak negara lain.
#Thailand #KDNK #sasaran kdnk #ekonomi #tarif AS