DUNIA
Tarif AS: China hubungi AS untuk rundingan perdagangan, kata Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Beijing telah menghubungi Washington untuk mengadakan perbincangan selepas Amerika mengenakan tarif ke atas import dari negara itu.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Beijing telah menghubungi Washington untuk mengadakan perbincangan selepas Amerika mengenakan tarif ke atas import dari negara itu.
Serentak itu, Trump memaklumkan akan menangguhkan sebarang keputusan berkaitan perjanjian TikTok sehingga isu perdagangan dengan China diselesaikan.
Dalam masa sama, beliau optimis perjanjian perdagangan dengan China akhirnya akan dapat dicapai.
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Presiden Xi (Jinping) dan saya rasa ia akan berterusan. Dan saya boleh katakan mereka telah menghubungi beberapa kali,” katanya.Ditanya adakah Jinping sendiri yang menghubunginya berhubung isu tarif itu, Trump hanya memberi gambaran bahawa sudah berbincang dengan kepimpinan tinggi China.
“Saya anggap ia lebih kurang sama. Ia melibatkan kepimpinan tertinggi China. Dan jika anda mengenalinya, anda akan tahu bahawa jika mereka menghubungi, beliau (Jinping) pasti tahu mengenainya.
"Beliau menguruskan segalanya dengan sangat ketat, sangat kuat, dan sangat bijak. Dan ya, kami sedang berbincang dengan China.
“Anda mungkin fikir ia agak jelas bahawa beliau telah melakukannya, tetapi kami akan bincangkan itu tidak lama lagi. Ia bukanlah sesuatu yang terlalu penting kerana, sejujurnya, kita akan ada satu perjanjian.
“Saya percaya kita akan ada perjanjian dengan China. Dan jika tidak pun, kita tetap akan ada satu perjanjian kerana kita akan tetapkan sasaran tertentu dan itu sahaja," ujar Presiden AS itu lagi.
Sebelum itu, Kementerian Perdagangan China menggesa Amerika supaya menghentikan tekanan melampau terhadap ekonomi kedua terbesar dunia itu dan menuntut agar rundingan perdagangan dijalankan dengan penuh hormat.
Walaupun Trump telah melonggarkan sementara tarif berat yang diumumkan baru-baru ini ke atas barangan dari puluhan rakan dagang lain, beliau mengekalkan kadar tarif baharu ke atas barangan dari China yang secara keseluruhan mencecah 145 peratus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami