DUNIA

Tarif Trump: Brazil desak AS respon cadangan perdagangan, bantah kenaikan 50 peratus

Astro Awani 17/07/2025 | 01:40 MYT
Alckmin menyatakan bahawa rundingan antara kedua-dua negara kini perlu diselesaikan segera. - Foto REUTERS
BRASILIA: Brazil menggesa Amerika Syarikat (AS) memberikan maklum balas terhadap cadangan perdagangan yang dikemukakan pada Mei lalu, sambil menegaskan keterbukaannya untuk mencapai perjanjian yang boleh diterima bersama.


Ringkasan AI
  • Brazil gesa maklum balas terhadap cadangan perdagangan yang dikemukakan pada Mei lalu dan nyatakan keterbukaan untuk rundingan susulan pengumuman tarif 50 peratus oleh Trump.
  • Dalam surat rasmi, Brazil nyatakan kenaikan tarif eksport akan beri kesan sangat negatif kepada kedua-dua negara, sambil mendedahkan defisit perdagangan AS$410 bilion sejak 15 tahun.
  • AS umum siasatan terhadap amalan perdagangan Brazil yang didakwa tidak adil, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam rundingan perdagangan dua hala.


Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump, mengenai kenaikan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Brazil bermula Ogos ini.

Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin, menyatakan bahawa rundingan antara kedua-dua negara kini perlu diselesaikan segera.

Dalam sidang media selepas mesyuarat bersama wakil-wakil entiti berkepentingan, Alckmin berkata kerajaan Brazil masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa AS dan tidak mempunyai halangan untuk melanjutkan tempoh rundingan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama pada Selasa, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pembangunan Brazil memaklumkan bahawa Kerajaan telah menghantar surat rasmi bagi mengukuhkan cadangan rundingan yang dikemukakan pada 16 Mei.

Alckmin turut menyatakan pada Isnin bahawa cadangan tersebut masih belum mendapat sebarang jawapan.

Dalam surat berkenaan, Brazil turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap rancangan kenaikan tarif eksport dari 10 peratus kepada 50 peratus ke atas barangan ke AS, sambil memberi amaran bahawa langkah itu akan memberi kesan "sangat negatif" kepada kedua-dua ekonomi.

Surat dari Brasilia itu turut menyatakan bahawa ekonomi terbesar Amerika Latin itu telah mencatatkan defisit perdagangan yang berterusan dengan AS dalam barangan dan perkhidmatan, berjumlah hampir AS$410 bilion sepanjang 15 tahun lalu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, mengumumkan siasatan terhadap apa yang disifatkan sebagai amalan perdagangan "tidak adil" oleh Brazil.





#Amerika Syarikat #Donald Trump #tarif #geraldo alckmin